top of page

Maritim Malaysia tahan dua vesel nelayan asing Vietnam ceroboh perairan Kudat

  • nabalunews
  • Sep 16
  • 1 min read

ree

16 September 2025


KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua Vesel Nelayan Asing Vietnam (VNAV) yang dikesan menceroboh masuk perairan negara, semalam.


Kedua-dua bot berkenaan ditahan di kawasan di Barat Laut Pulau Straggler, di sini, selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap hasil laut Malaysia.


Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, menerusi operasi bersepadu itu, pihaknya berjaya menahan 11 kru termasuk tekong berusia lingkungan 17 hingga 48 tahun.


Katanya, semua individu warga asing terbabit ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.


“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.


“Semua mereka ditahan bersama vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil

laut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM6 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Hasbullah berkata, kedua-dua bot terus diiringi masuk ke Jeti Tahanan Vesel Zon Maritim Kudat yang mengambil masa hampir 12 jam perjalanan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.


Sementara itu Hasbullah menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan nelayan asing.


Katanya, tindakan pencerobohan itu jelas menjejaskan sumber perikanan negara serta menimbulkan kerugian besar kepada komuniti nelayan tempatan.


“Saya turut menyeru orang awam, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan

maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Kudat

di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.


Tamat

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page