Masalah kesihatan mental kanak-kanak bermula sebelum 14 tahun: MYCAPs
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Masalah kesihatan mental kanak-kanak bermula sebelum 14 tahun: MYCAPs


18 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Lebih kurang 424,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental.


Dapatan tersebut, adalah berdasarkan statistik tinjauan kesihatan dan morbiditi Malaysia pada 2019.


Persatuan Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MYCAPs) berkata, keadaan itu menggambarkan isu kesihatan masalah mental bagi golongan tersebut di negara ini sebagai satu epidemic.


Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan.


"Menurut WHO, dalam 50 peratus, masalah kesihatan mental bermula sebelum mereka berumur 14 tahun dan 75 peratus bermula pada umur 20an," menurut persatuan itu dalam kenyataan hari ini.


MYCAPs berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, pencegahan masalah kesihatan mental perlu bermula dari seawal usia bayi.


“Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak mereka melalui penyediaan persekitaran berkualiti dan sejahtera.


“Ini termasuk memastikan persekitaran mereka sentiasa selamat, stabil dan penuh kasih sayang,” kata MYCAPs.


Mengulas lanjut, keperluan kesihatan mental kanak-kanak termasuklah menerima kasih sayang tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa.


Dalam pada itu, kanak-kanak juga perlu berada dalam persekitaran yang selamat, tenteram dan terjamin serta mereka tahu adanya sokongan.


“Selain itu, penting juga kanak-kanak dapat bergaul dan bermain dengan kanak-kanak yang lain kerana ianya dapat membina keyakinan dan harga diri mereka," katanya.


Jelas MYCAPs, banyak kanak-kanak membesar dalam persekitaran rumah tidak selamat yang mana ibu bapa mereka tiada secara fizikal atau emosi.


"Bagi peringkat kanak-kanak dan remaja pula, ibu bapa perlu menggalakkan perbualan sihat dengan mendengar secara aktif serta memberikan mereka ruang untuk bercakap tanpa bersikap kritikal dan menghakimi," menurut kenyataan itu.

bottom of page