top of page

Masalah pengairan di Kg Monsorulung perlu ditangani - Adrian Lasimbang

  • Writer: Ilona Andrew
    Ilona Andrew
  • Sep 1, 2021
  • 2 min read

1 September 2021

Oleh Ilona Andrew


TAMBUNAN: Penduduk di Kampung Monsorulung, di sini, meluahkan rasa kecewa atas masalah ketiadaan air akibat gabion yang rosak dan hanyut yang memberi kesan terhadap tanaman padi mereka.


Para petani di kampung itu bergantung kepada sistem pengairan yang baik dan konsisten untuk sawah padi mereka, namun masalah pengairan di situ membantutkan keberhasilan tanaman mereka.


Keluhan ini disampaikan kepada Presiden Tonibung Adrian Lasimbang semasa Lasimbang sesi penyerahan Baucer Bakul Makanan (BBM) baru-baru ini.


"Masalah ini sepatutnya boleh ditangani lebih awal dan perlu ada penambahbaikan dalam sistem perparitan sawah padi di sini (Tambunan).


“Kita ada Menteri Pertanian Negeri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) di sini, dan permasalahan seperti gabion rosak ini tidak seharusnya berlaku.


“Golongan petani sudah tentu bergantung penuh kepada hasil padi yang baik kerana situasi pandemik sekarang yang mengekang mereka untuk bergiat penuh dalam aktiviti jual beli hasil pertanian lain seperti dahulu," katanya.

Seramai lima orang pesawah padi mendakwa mereka telah mengajukan permohonan sebanyak dua kali ke Jabatan Parit dan Saliran (JPS) yang terdekat, namun maklum balas yang diterima tidak memuaskan dengan alasan tiada peruntukan untuk membaiki gabion yang rosak.


Menurut mereka, sebelum ini pihak JPS tidak mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan peruntukan wang untuk kerosakan gabion dan penduduk yang terlibat akan membaiki gabion secara bergotong-royong.


Kali ini, gabion yang membentuk saliran air ke tanah sawah kelima-lima petani ini rosak akibat banjir besar Sungai Pegalan pada bulan Mei lepas. Dimaklumkan juga, masalah gabion ini sudah acapkali berlaku setiap kali banjir Sungai Pegalan.


Pesawah padi di beberapa tempat lain di daerah ini juga menghadapi masalah yang serupa dan keadaan ini sudah pasti menyulitkan para petani yang bergantung kepada hasil sawah padi untuk meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi di masa pandemik Covid-19 ini.


Adrian berkata, wakil daripada lima pesawah padi yang terlibat juga memberitahu bahawa musim menanam padi sudah bermula di kawasan lain, namun kerja-kerja bersawah mereka terbengkalai kerana masalah air.


Semasa sesi penyerahan itu, Adrian Lasimbang menghulurkan baucar kepada beberapa pengerusi PJKK dan Ketua Kampung di daerah Tambunan, serta menyampaikan amanat kepada para pemimpin kampung di sini agar sentiasa mengingatkan penduduk di bawah jagaan masing-masing agar segera mendapatkan vaksinasi penuh bagi mencapai imuniti berkelompok secara tuntas.


Beliau melalui peruntukan yang diterima melalui pakej PEMULIH telah menyumbang bakul makanan dan baucer bakul makanan yang memanfaatkan 366 buah keluarga rentan dan 6 buah kedai runcit di sekitar daerah Tambunan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page