MASYARAKAT KDM SAMBUT BAIK KEPUTUSAN PENGANJUR UNK "U TURN" KEKALKAN JURI PROFESIONAL
- Wartawan Nabalu News
- May 25, 2021
- 3 min read
Updated: May 27, 2021

25 Mei 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Selepas menerima bantahan daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati terhadap sistem pengundian berbayar Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Sabah 2021, akhirnya pihak penganjur pertandingan itu mengekalkan sistem pengadilan menggunakan juri profesional.
Jelas sekali, cadangan awal jawatankuasa penganjur Sambutan Pesta Kaamatan supaya sistem pengundian UNK secara berbayar itu mendapat reaksi berbeza.
Rata-rata rakyat menyifatkan sistem pengadilan yang akan dikendalikan oleh pengadil profesional secara maya lebih adil untuk semua peserta.
Mereka turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada jawatakuasa penganjur pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri yang bersikap terbuka dan mendengar keluhan rakyat selaras dengan semangat Huminodun.
Sebelum ini, orang ramai mempersoalkan sistem pengundian UNK tahun ini yang melibatkan wang. Ia bukan sahaja menimbulkan masalah kepada peserta tetapi juga membebankan rakyat yang sedang bergelut masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.
Jenny Lajiun, ibu kepada peserta UNK Api-Api Maya Hejnowska, berterima kasih kepada pihak penganjur kerana terbuka mendengar suara rakyat dan menerima pendapat umum yang mahu agar UNK diadili oleh juri profesional seperti tahun-tahun sebelum ini.
"Terima kasih kepada pengerusi penganjur Puan Joanna Kitingan kerana mendengar suara rakyat dan tidak meneruskan sistem pengundian berbayar.
“Jadi sekarang, semua peserta akan berpeluang bertanding seperti sebelum ini. Kami sangat menghargai keputusan pihak penganjur. Sebab bukan semua peserta Unduk Ngadau dari keluarga berkemampuan dan sistem pengundian berbayar memang tidak adil bagi mereka.
“Terima kasih kepada Puan Joanna kerana memahami cabaran dan masalah yang dihadapi oleh setiap peserta Unduk Ngadau dan menyokong mereka,” katanya.
Jenny berkata, sebagai ibu kepada Maya (UNK Api Api), adalah tidak sesuai sistem pengundian berbayar dikenakan ketika ini memandangkan ramai orang menghadapi kesukaran ekoran pandemic Covid-19.
“Sebab itu, mengundi UNK menggunakan duit memang bukan keutamaan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Evelyn Paing dari Tamparuli berkata, sistem pengadilan UNK yang diumumkan sebelum ini amat tidak sesuai kerana ia membebankan dan tidak adil kepada semua peserta.
“Selain itu sistem undian online juga tidak ‘mesra” kepada masyarakat luar bandar atau di pedalaman yang tidak tahu mengundi secara online.
“Sebab itu saya menyokong penuh keputusan pihak penganjur mengembalikan kuasa kepada juri professional untuk mengadili UNK,” katanya.
Evelyn berkata, oleh kerana sistem pengundian berbayar ditamatkan maka wang terkumpul hasil undian online perlu disalurkan kepada rumah anak yatim yang memerlukanm.
“Saya setuju duit itu disumbangkan kepada rumah anak yatim, sebab kalau mau minta balik pun susah juga … bagus salurkan duit itu kepada yang memerlukan,” katanya.
Emma Paulus turut menyambut baik keputusan pihak penganjur UNK menamatkan sistem pengundian berbayar dan menggunakan juri professional untuk mengadili UNK.
“Lagipun bukan semua orang pandai mengundi guna sistem pengundian online. Saya sendiri pun tidak dapat mengundi anak buah saya yang mewakili Tamparuli sebab saya tidak tahu undi online,” katanya.
Beliau juga berharap pihak penganjur dapat mengumumkan nama-nama juri professional agar tidak menimbulkan persoalan kepada orang ramai selepas ini.
Mengenai wang terkumpul hasil daripada sistem pengundian berbayar sebelum ini, Emma berkata, secara peribadi, beliau bersetuju ia disalurkan kepada rumah anak yatim yang memerlukan.
“Tetapi saya pasti bukan semua orang bersetuju mengenai perkara ini kerana pihak penganjur tidak menyatakannya secara ‘hitam putih’ duit itu digunakan untuk apa sebelum ini.
“Oleh itu pihak penganjur perlu mengembalikan semula wang kepada mereka yang ingin wang mereka dikembalikan kerana setiap orang berhak mendapatkan semula duit mereka memandangkan sistem pengundian berbayar telah ditamatkan,” katanya.
Jacqlin Jack berkata, pengundian berbayar amat tidak efisien apatah lagi keadaan ekonomi ketika ini tidak menentu ekoran pandemik Covid-19.
“Sistem pengundian berbayar juga tidak selari dengan matlamat penganjuran UNK yang sebenarnya. Ia seolah-oleh satu ‘perniagaan’ untuk memilih siapa UNK,” katanya.
Beliau memuji tindakan pihak penganjur kerana mendengar suara rakyat dan tidak meneruskan sistem pengundian berbayar.
“Saya berharap masalah seperti ini tidak berulang pada penganjuran UNK akan datang. Pihak penganjur harus lebih sensitif dan memahami tujuan sebenar pertandingan UNK.
“Ia bukan seperti pertandingan ratu cantik atau miss world yang biasa, UNK lebih kepada pemuliharaan warisan budaya masyarakat Kadazandusun agar tidak pupus ditelan zaman… ini yang membezakan pertandingan UNK dengan pertandingan-pertandingan ratu cantik yang lain,” katanya.
Senarai 21 peserta UNK 2021 yang dipilih oleh juri profesional.
1. Abigail Paul Makajil (Pantai Manis)
2. Avrill Elvira (Tanjung Keramat)
3. Belkage Sindam (Tamparuli)
4. Carrey Evanne (Penampang)
5. Rozeline John (Balung)
6. Crystell Esther (Limbahau)
7. Dianarin Vahidin (Paginatan)
8. Emily Chung (Luyang)
9. Malle Christian (Matunggong)
10. Febby Angelica (Kundasang)
11. Felcy Fransie (Petagas)
12. Ivy Elchrisstia (Tenom)
13. Brolyn Benjamin (Kiulu)
14. Kareline Bukah (Nabawan)
15. Kimberley Lim (Telupid)
16. Lisa Christie (Tulid)
17. Maya Hejnowska- (Api- Api)
18. Michelle Yong (Membakut)
19. Sharon Stephen (Kawang)
20. Tracie Sinidol (Tambunan)
21. Valerieana Karen (Elopura)















1 Comment