MATA GESA KERAJAAN BERI PELUANG KEPADA HOSPITAL, KLINIK SWASTA DALAM PROGRAM VAKSINASI
- Wartawan Nabalu News
- Mar 7, 2021
- 2 min read

7 Mac 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa Kerajaan Malaysia supaya memberi peluang kepada hospital atau klinik swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan program imunisasi nasional bersama-sama pihak KKM.
Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, dengan membenarkan hospital swasta melaksanakan program imunisasi itu dapat mempercepatkan lagi program imunisasi nasional sekali gus dapat melindungi rakyat dengan lebih cepat tanpa menunggu giliran yang lama.
"MATA percaya bagi rakyat Malaysia yang mampu, mereka akan memilih hospital swasta untuk program imunisai dan sekali gus Kerajaan Malaysia dapat menjimat kos pembayaran vaksin Covid-19.
"Ini dapat mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara terutamanya sektor pelancongan yang hampir tekubur akibat pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Mohd Khalid berkata, sektor pelancongan telah menyumbang RM89.4 billion pada tahun 2019 serta menyumbang 15.2 peratus kepada KDNK.
Beliau percaya, bila semua rakyat Malaysia telah di vaksinkan, sektor pelancongan akan kembali aktif dengan kedatangan pelancong luar ke Malaysia serta rakyat Malaysia boleh melancong ke luar negara.
"Kita mesti ingat sektor pelancongan adalah sektor dua hala iaitu inbound dan outbound. MATA yakin dengan mempercepatkan program imunisasi negara, industri penerbangan, agensi pelancongan, hotel, restoran, taman tema, syarikat pertukaran matawang, kedai cenderahati serta sektor bersangkutan dengan pelancongan akan mendapat menafaat dan kembali beroperasi seperti biasa.
"MATA juga yakin semua pemain industri pelancongan akan bersetuju dengan gesaan ini," katanya.
Selain itu, MATA turut menggesa Kerajaan Malaysia mengkaji semula rentas negeri bagi menggalakkan industri pelancongan domestik bernafas kembali setelah lebih dua bulan pelancongan domestik ini sepi.
"Ahli-ahli kami yang berada di pulau-pulau peranginan seperti di Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Tioman dan pulau-pulau peranginan yang lain, hanya bergantung sepenuhnya melalui pelancong domestik terutamanya dari Lembah Klang.
"Buat masa ini mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan yang dapat membantu dalam mendepani kelansungan hidup," katanya.















Comments