top of page

MedTechPreneur 1.0 platform lonjak penyertaan usahawan dalam industri peranti kesihatan

  • nabalunews
  • Oct 15, 2025
  • 2 min read

15 Oktober 2025


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata Program Pembangunan Keusahawanan Sektor Peranti Perubatan (MedTechPreneur 1.0) dilihat sebagai platform penting untuk membuka ruang kepada usahawan tempatan berkecimpung dalam industri peranti kesihatan.


Beliau berkata, sektor berasaskan inovasi dan teknologi seperti peranti perubatan bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan tempatan menjadi pengeluar, tetapi pencipta teknologi perubatan masa hadapan yang mampu bersaing di peringkat global.


“Program MedTechPreneur ini dilihat selari dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global.


“Selain itu, ia juga seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bersama-sama memacu transformasi industri negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran MedTechPreneur 1.0 bertemakan “Memacu Keusahawanan, Merevolusi Industri Peranti Perubatan” di Putrajaya International Convention Centre (PICC), di sini hari ini.


Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.


Ewon berkata, NIMP 2030 telah mengenal pasti industri peranti perubatan sebagai antara pemacu strategik dalam menjana pelaburan bernilai tinggi serta peluang pekerjaan berkemahiran.


Katanya, Malaysia kini berada dalam fasa pertumbuhan ekonomi kukuh dengan sektor PMKS berkembang sebanyak 5.8 peratus pada tahun 2024, menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


“Semua pihak berkepentingan perlu memberikan sokongan menyeluruh bagi memastikan kelestarian dan daya saing sektor PMKS terus diperkukuh dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar,” katanya.


Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa komited memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui usaha berterusan meningkatkan akses pembiayaan, memudah cara perniagaan serta memperluas pasaran untuk usahawan dan koperasi.


Beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap sektor itu turut dizahirkan melalui Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM1.015 bilion kepada KUSKOP, peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus merupakan jumlah tertinggi pernah diterima oleh kementerian tersebut.


“Peruntukan ini memberi manfaat kepada pelbagai kategori usahawan termasuk PMKS, koperasi, perusahaan sosial, francais dan usahawan informal, dengan tumpuan khas kepada golongan Bumiputera, wanita, belia, B40 serta usahawan di Sabah dan Sarawak,” katanya.


Beliau berkata, dalam konteks Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KUSKOP memainkan peranan penting dalam agenda penskalaan PMKS bagi memperluas kapasiti perniagaan tempatan agar dapat berkembang daripada peringkat mikro kepada sederhana dan seterusnya menjadi pemain industri yang kompetitif di rantau ini.


“Penskalaan PMKS ini adalah nadi kepada misi KUSKOP untuk melahirkan lebih ramai jaguh keusahawanan tempatan yang bukan sekadar berdikari, tetapi mampu menjadi peneraju sektor strategik negara seperti inisiatif High Growth High Value (HGHV),” katanya.


Dalam menyokong agenda ini, Ewon berkata, KUSKOP melalui agensi-agensinya turut melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan berteraskan pendigitalan bagi melengkapkan usahawan tempatan dengan kemahiran dan akses kepada ekonomi digital.


“Justeru, saya menyambut baik inisiatif MDA melalui pelaksanaan Program MedTechPreneur 1.0 ini, yang bukan sahaja dapat memperkasa dan meningkatkan ekonomi usahawan, malah mampu melonjakkan sumbangan PMKS kepada ekonomi negara serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu, khususnya dalam sektor teknologi peranti kesihatan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page