- nabalunews
Merdekakan jiwa daripada penyebaran kandungan, komen jelik – Fahmi
30 Ogos 2024
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia harus berusaha ‘memerdekakan jiwa’ daripada penyebaran kandungan dan komen jelik yang boleh menyakitkan hati orang lain, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, walaupun rakyat Malaysia bebas menyampaikan pandangan, penting bagi mereka untuk mempunyai adab ketimuran dan sentiasa mengamalkan tatasusila yang baik.
“Bagi rakyat beragama Islam kita harus berbalik kepada al-Quran dan hadis dan pada rakyat bukan beragama Islam kita harus berpegang teguh kepada Rukun Negara, dan prinsipnya iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Ummah Ikhlas, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata apabila meneliti aduan-aduan yang diterima, kebanyakan akaun yang mengeluarkan kata-kata jelik ini didapati merupakan akaun palsu.
Sementara itu, Fahmi berkata beliau secara peribadi ingin melihat majlis seperti #QuranHour dimasukkan ke dalam kalendar tahunan bagi Bulan Kebangsaan.
“Program ini cukup baik dan mempunyai pengisian yang amat bermakna. Peringatan yang tepat pada masanya dan kita harap dapat memberi manfaat bukan hanya dalam acara tahun ini tetapi tahun-tahun akan datang insya-Allah.”
Memasuki tahun ke-10 penganjurannya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya tahun ini dipilih sebagai lokasi utama Malaysia #QuranHour 2024 yang bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara.
Malaysia #QuranHour dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama rakan sinergi lain seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan, selain melibatkan institusi pengajian tinggi tempatan.
Comments