Meriah dan Bermakna: Sambutan Hari Guru dan Kaamatan SK Melangkap 2025 Disambut Penuh Warna-warni
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

3 Jun 2025
KOTA BELUD: Majlis Sambutan Hari Guru dan Pesta Kaamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Melangkap telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Komuniti Kampung Melangkap Baru. Acara tahunan ini merupakan anjuran bersama Sekolah Kebangsaan Melangkap dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Majlis telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud (Sektor Swasta), Justin Nuin, yang turut menyampaikan penghargaan atas komitmen dan kerjasama erat antara pihak sekolah dan PIBG. Beliau menyatakan bahawa sinergi ini amat penting dalam memastikan kelangsungan pendidikan berkualiti serta menyemarakkan semangat kekitaan antara warga sekolah dan komuniti.
Dalam ucapannya, Justin menzahirkan rasa bangga atas usaha murni pihak penganjur yang telah berjaya menjayakan majlis dengan suasana meriah dan penuh pengisian bermakna.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha sebegini bukan sahaja memberi penghargaan kepada warga pendidik tetapi juga memperkukuh hubungan institusi pendidikan dengan masyarakat setempat.
Sementara itu, Guru Besar SK Melangkap, Holen Sayaman turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis, khususnya pihak PIBG yang terus memberikan sokongan padu kepada sekolah dalam pelbagai aspek.
Menurut beliau, penghargaan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap jasa serta dedikasi warga sekolah, termasuk kakitangan bukan akademik.
Majlis turut diisi dengan acara penyampaian penghargaan kepada guru-guru dan kakitangan sokongan seperti pengawal keselamatan dan tukang kebun, yang menunjukkan pengiktirafan menyeluruh terhadap semua warga sekolah tanpa mengira peranan.
Antara pengisian lain yang menceriakan suasana termasuklah Pertandingan Runduk Tondu Dazanak (Ratu Kanak-kanak), Pertandingan Tina Tolundus (Ratu Ibu), dan sesi cabutan bertuah yang berjaya menarik penyertaan ramai serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat.
Turut hadir ialah Yang DiPertua PIBG SK Melangkap, Anichlose Kesimin, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran majlis dan memperkukuh jalinan kerjasama antara sekolah dan ibu bapa.
Majlis ini secara keseluruhan bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai jasa pendidik, malah mencerminkan semangat muafakat dan kepedulian komuniti terhadap peranan pendidikan dalam membentuk generasi masa depan.
Comentários