Mesyuarat Pemuda UPKO Kota Belud Fokus Persidangan Pusat & Program Tahunan
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 12 Julai – Pergerakan Pemuda UPKO Bahagian Kota Belud hari ini mengadakan Mesyuarat Eksekutif pertama bagi penggal 2026-2029, dengan fokus utama persiapan ke Persidangan Perwakilan Pemuda UPKO Pusat pada 8 dan 9 Ogos depan serta perancangan program tahunan bahagian.
Mesyuarat yang berlangsung di Mini Dewan Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian, Skyblue Piasau itu dipengerusikan oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah pengesahan pelantikan jawatankuasa baharu, perancangan aktiviti terdekat di peringkat bahagian, serta persiapan perwakilan ke persidangan pusat di Bangunan KDCA Hongkod Koisaan Kota Kinabalu yang dijangka akan diadakan pada 9 hingga 10 Ogos depan.

Turut menjadi keutamaan mesyuarat ialah komitmen kepimpinan pemuda untuk memperkasakan peranan belia melalui pelaksanaan program lebih tersusun, progresif dan berimpak kepada masyarakat.
Dalam pada itu, mesyuarat turut membincangkan program tahunan bahagian memandangkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah pun dilaksanakan pada pertengahan tahun ini. Empat acara utama yang masih dalam kalender 2026 ialah pertandingan Bolasepak, pertandingan Tarik Tali, Pertandingan Dart dan Kadamaian Adventure Race (KAR).
Menurut Jolyhame, kesinambungan program besar ini mendapat komitmen padu daripada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap ADUN Kadamaian, sejak lapan tahun lalu.
Beliau turut menyeru semua Ahli Jawatankuasa baharu dan sedia ada supaya bertindak sebagai "Duta" kepimpinan UPKO di setiap cawangan masing-masing dan memberikan perkhidmatan terbaik bagi mengekalkan kecemerlangan parti.











