top of page

MINDEF laksana rombakan besar-besaran pelan anti rasuah

  • nabalunews
  • 52 minutes ago
  • 1 min read

12 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan rombakan pelan anti rasuah secara besar-besaran bagi membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam sistem pertahanan nasional, tahun ini.


Menterinya, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, ia termasuk menyemak semula dan memperbaiki semua proses tender selari dengan amalan terbaik.


Menurut beliau, perkara itu menjadi antara empat teras pelarasan MINDEF pada 2026, antaranya berkaitan membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional.


"Rasuah, atau persepsi rasuah, dalam apa juga bentuk di MINDEF ini harus berakhir! Tidak akan ada toleransi terhadap apa juga kecurangan.


"Bersedialah untuk kehilangan segalanya jika anda adalah penyebab sektor keselamatan kita dikompromi," katanya semasa berucap dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira di sini, hari ini.


Mohamad Khaled menegaskan rasuah dalam apa sahaja bentuk bukan sahaja menafikan negara daripada memperoleh aset pertahanan yang berkualiti, malah menyebabkan pembaziran, ketidakcekapan dan ketirisan sehingga melemahkan keupayaan operasi pertahanan.


Selain itu katanya, rasuah juga merosakkan keperibadian anggota agensi pertahanan nasional yang terdidik dengan disiplin.


"Rasuah adalah barah yang menyebabkan kita tidak mampu bersaing sebagai sebuah negara kuasa pertengahan dan kerana rasuah, berlaku ketirisan dan akhirnya kita tidak mampu memberikan yang terbaik kepada tanah air dan anggota kita," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keperluan mendesak untuk memulihkan integriti dan memastikan sistem tatakelola diperkukuh sepenuhnya agar tiada ruang kepada penyelewengan dan salah guna kuasa.


Ujarnya, pelbagai pelan sebelum ini dilancarkan namun gagal mencapai matlamat apabila tidak disertai strategi serta mekanisme pelaksanaan yang ampuh, sehingga akhirnya hanya kekal sebagai dokumen.


“Cukuplah dengan segala pelan. Kita memerlukan tindakan," katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page