top of page

MINDET, KPDN muktamad kerjasama perkasa perlindungan harta intelek di Sabah

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 2 min read

24 April 2026


PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah memuktamadkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memperkasa perlindungan harta intelek dalam kalangan usahawan serta komuniti di Sabah.


Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan pendaftaran harta intelek menjadi komponen utama dalam pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan, termasuk perusahaan sosial komuniti di Sabah.


“Kerjasama tersebut akan bermula dengan pegawai-pegawai MINDET dan agensi-agensinya mengikuti program latihan khusus di Akademi Harta Intelek, seterusnya program-program kesedaran mengenai kepentingan perlindungan harta intelek di kalangan usahawan Sabah.

“Kursus itu penting bagi meningkatkan kefahaman mereka tentang Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sekali gus membolehkan mereka memberi nasihat yang tepat kepada usahawan berkaitan pendaftaran dan perlindungan harta intelek.


“Saya juga akan meneliti cadangan mengujudkan unit khas berkaitan harta intelek di MINDET bagi membantu menyelaras inisiatif-inisatif yang berkaitan,” katanya.


Ewon berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ewon turut mengadakan kunjungan ke Akademi Harta Intelek Perbadanan Harta Inteek Malaysia (MyIPO) dan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarahnya, Yusnieza Syarmila Yusoff berhubung pelaksanaan program latihan khusus untuk pegawai MINDET serta agensinya.


Beliau berkata setiap pembangunan produk keusahawanan di Sabah, sama ada melibatkan industri dan inovasi, makanan dan minuman (F&B) atau perusahaan sosial, perlu merangkumi pendaftaran harta intelek.


“Ini memerlukan pendedahan dan latihan khusus kepada pegawai kementerian serta agensi di Sabah, di samping program kesedaran melibatkan usahawan dan komuniti.

“Saya menghargai kesediaan dan komitmen MyIPO dalam memuktamadkan kerjasama ini,” katanya.


Berdasarkan taklimat MyIPO, sebanyak 3,941 permohonan harta intelek di Sabah diterima bagi tempoh 2021 hingga Mac 2026, dengan 3,349 pendaftaran direkodkan setakat Disember 2025 di Sabah.


Setakat ini, sebanyak 31 produk Petunjuk Geografi (GI) didaftarkan di Sabah, antaranya Amplang, Kopi Tenom, Belacan Papar, Sabah Tea, Piyutu Sandakan dan Liking kota Belud. Daripada jumlah itu enam tidak aktif kerana belum diperbaharui.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page