MN Fitness Club Kota Belud raih tempat ketiga BCG Hyrox Mini 2026 di Labuan

Oleh : Romie Stanley DGuns
LABUAN, 8 September – Pasukan MN Fitness Club, Kota Belud membuktikan kemampuan atlet luar bandar dengan meraih tempat ketiga dalam kategori Women Relay di pertandingan BCG Hyrox Mini 2026 yang berlangsung di Palm Beach, Labuan, pada 29 hingga 30 Ogos lalu.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila lima daripada 10 peserta yang mewakili kelab berkenaan merupakan anak jati Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud, sekaligus membuktikan komuniti pedalaman juga mampu melahirkan individu yang berdaya saing dalam sukan kecergasan berintensiti tinggi.

Pertandingan yang menguji tahap kecergasan fizikal, ketahanan mental, disiplin serta keupayaan kerja berpasukan melalui gabungan larian dan cabaran intensiti tinggi itu menyaksikan pasukan MN Fitness Club bertanding dalam beberapa kategori, termasuk Individu, Women Doubles (tiga pasukan), dan Women Relay (dua pasukan).
Jurulatih yang juga pemilik MN Fitness Club, Milsah Namih, berkata pencapaian tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan pasukan, malah menjadi bukti bahawa usaha dan komitmen berterusan mampu membawa hasil di pentas kompetitif.

"Kejayaan ini bukan milik peserta semata-mata, tetapi hasil sokongan semua pihak yang percaya dan membantu pasukan. Saya berharap ia menjadi pemangkin untuk kami terus berlatih, memperbaiki prestasi dan berani menyahut cabaran di pertandingan yang lebih besar pada masa hadapan," katanya.
Sepanjang kejohanan, kesemua peserta mempamerkan semangat kesukanan, kerjasama erat serta ketahanan tinggi, menjadikan platform ini sebagai medan mengukur kemampuan diri, membina keyakinan, dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli pasukan.
Milsah turut merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang memberikan sokongan kewangan serta moral, terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian merangkap Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambulion Ulu, serta individu-individu yang terlibat secara langsung.
Beliau berharapan agar kejayaan di Labuan ini menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga MN Fitness Club untuk terus mengharumkan nama Kota Belud di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.















Comments