top of page

23 usahawan Sabah terima Geran SME-UP RM230,000

nabalunews
1 hour ago
2 min read

10 September 2026


KOTA KINABALU: Seramai 23 usahawan tempatan Sabah menerima Geran SME-UP berjumlah RM230,000 bagi membantu menambah baik pembungkusan dan pelabelan produk, sekali gus meningkatkan daya saing mereka di pasaran.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, setiap usahawan menerima geran bernilai RM10,000 sebagai antara inisiatif kerajaan membantu usahawan meningkatkan kualiti produk dan mengembangkan perniagaan.



“Walaupun dari segi nilainya bantuan ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, namun tiada langkah besar yang tidak bermula daripada langkah kecil dan tiada kejayaan besar yang tidak bermula daripada usaha kecil.


“Saya berharap usahawan yang menerima geran ini akan terus berjaya serta menjadi contoh, motivasi dan inspirasi kepada usahawan lain, termasuk graduan dan golongan belia yang masih mencari pekerjaan.



“Mudah-mudahan kejayaan mereka akan mendorong lebih ramai untuk turut berkecimpung dalam bidang keusahawanan,” katanya selepas menyempurnakan majlis ringkas penyampaian Geran SME-UP (Pembungkusan) kepada 23 usahawan tempatan Sabah, di sini, hari ini.


Ewon berharap bantuan itu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.


Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), atas pelbagai inisiatif dalam membangunkan usahawan tempatan.


“Saya menghargai dedikasi dan usaha DIDR yang diketuai Pengarahnya, Siti Nur’Ain Abdullah serta seluruh warga jabatan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membangunkan usahawan tempatan Sabah,” katanya.


Sementara itu, Pengarah DIDR Sabah, Siti Nur’Ain Abdullah berkata, insentif berkenaan bertujuan membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memperkukuh keusahawanan, meningkatkan produktiviti serta meluaskan peluang perniagaan.


“Kita berharap para penerima dapat memanfaatkan bantuan ini sebaik-baiknya untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing IKS di pasaran.


“Pembekal yang dilantik bagi program bantuan ini juga perlu memastikan setiap usahawan menerima peralatan dan kemudahan berkualiti, termasuk pembungkusan yang baik dan menarik supaya produk mereka lebih berdaya saing di pasaran,” katanya.


Beliau turut menyeru semua penerima supaya memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diterima bagi mengembangkan perniagaan dan seterusnya meningkatkan pendapatan masing-masing.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page