top of page

MNC harus terajui pembangunan identiti ekonomi masyarakat Momogun - Ewon

  • Wartawan Nabalu News
  • 14 hours ago
  • 2 min read
Ewon menyampaikan watikah pelantikan kepada Tan Sri Wences Angang, presiden baharu MNC.
Ewon menyampaikan watikah pelantikan kepada Tan Sri Wences Angang, presiden baharu MNC.

13 Julai 2025


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Momogun National Congress (MNC) harus menerajui pembangunan identiti ekonomi masyarakat Momogun.


Beliau berkata, MNC dan semua persatuan yang bersekutu dengannya perlu mengambil peranan aktif dalam usaha membangunkan kekuatan ekonomi masyarakat Momogun, termasuklah pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi.


“Saya ingin melihat kepimpinan MNC serta 77 persatuan etnik Momogun yang lain mengangkat identiti ekonomi masyarakat ini supaya dapat bersaing dalam sektor ekonomi negara.


“Fokus utama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030 ialah penskalaan perniagaan PMKS iaitu kita mahu membangunkan lebih perusahaan berpertumbuhan tinggi dan berimpak tinggi.


“Sementara kita mahu membantu usahawan informal dan mikro, kita harus membangunkan perusahaan lebih besar dalam komuniti PMKS. Justeru saya menjemput MNC dan 77 persatuan etnik untuk terlibat dalam pembangunan ekonomi masyarakat Momogun ini. Saya gembira mengetahui Pengerusi SME Corp, Tan Sri Bernard telah mengetuai perbincangan khas ke arah ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Jawatan Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi MNC di Wisma Kinsabina, di sini, pada Jumaat.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.
Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Ewon menyatakan beliau akan terus memberikan fokus tambahan kepada pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang beliau laksanakan di KUSKOP iaitu bagi membangunkan inisiatif yang bersesuaian dengan isu dan cabaran dinamik sektor ekonomi di kedua-dua negeri Malaysia Timur tersebut.


Beliau berkata, antara inisiatif yang telah diperkenalkan setakat ini ialah Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP PLUS) oleh SME Corp, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Skim Pembiayaan Industri Kraf oleh TEKUN Nasional dan projek Tamu Desa yang dilaksanakan oleh KUSKOP.


Pada majlis tersebut, Ewon turut bersetuju meluluskan peruntukan khas beliau sebanyak RM100,000 bagi menyokong penganjuran sambutan Hari Orang Asal Sedunia yang akan dianjurkan oleh MNC dan persatuan-persatuan etnik Momogun lain.

Ewon bergambar bersama barisan ahli jawatankuasa MNC yang baharu.
Ewon bergambar bersama barisan ahli jawatankuasa MNC yang baharu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page