MOF perkenal penambahbaikan SARA Bulanan, manfaat kepada 8.1 juta penerima
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

5 Januari 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) akan memperkenalkan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan manfaat golongan penerima Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan.
MOF dalam kenyataan hari ini berkata, ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memaklumkan bantuan berkenaan akan dikreditkan bermula Jumaat ini.
Menurut kementerian itu, sasaran penyertaan kedai kecil dalam program SARA tahun ini akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026 berbanding lebih 3,000 kedai pada akhir 2025, sekali gus melengkapi rangkaian pasar raya sedia ada.
“Penyaluran SARA Bulanan 2026 akan bermula pada 9 Januari ini untuk 5 juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Januari 2026.
“Penerima SARA Bulanan akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 mengikut kategori kelulusan,” menurut kenyataan itu.
MOF memaklumkan, secara keseluruhan, program SARA Bulanan 2026 melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM8 bilion, meningkat berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun 2025.
Tambah kementerian itu, prestasi SARA Bulanan 2025 menunjukkan kadar perbelanjaan hampir 100 peratus oleh penerima, termasuk di kawasan luar bandar.
Terdahulu, Anwar mengumumkan bantuan SARA untuk penerima miskin tegar akan dikreditkan pada Jumaat ini manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu bernilai sehingga RM500 akan dikreditkan pada 20 Januari depan.
Penyaluran STR Fasa Satu itu membabitkan peruntukan RM1.1 bilion untuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, dengan bantuan antara RM100 hingga RM500 mengikut kelayakan masing-masing.
Perdana Menteri turut mengumumkan pembayaran SARA bernilai RM100 kepada semua rakyat tempatan berusia 18 tahun ke atas akan dikreditkan pada 9 Februari ini sebagai persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, MOF berkata, inisiatif SARA untuk Semua yang diperkenalkan pada 31 Ogos lalu akan dinikmati 22 juta warganegara layak secara sekali bayar.
“SARA untuk Semua 2025 mencatatkan penggunaan oleh 21.2 juta rakyat atau 96 peratus penerima, dengan perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.
“Baki peruntukan kira-kira RM150 juta yang tidak dibelanjakan akan disalurkan semula bagi menjamin kebajikan golongan rentan, termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan mangsa keganasan rumah tangga, dan bantuan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dan keperluan khas.
“Selain itu, ia juga bagi inisiatif pembelian peranti perubatan serta pelaksanaan inisiatif Dapur SISWA bagi membantu pelajar kurang berkemampuan mendapatkan akses makanan,” jelas kenyataan itu.


















Comments