Mohd Casmir Amar Juara Bintang SandakanFM 2025
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 2 min read

22 Jun 2025
SANDAKAN: Kelunakan suara dan persembahan bersemangat Mohd Casmir Amar Mohd Ali di Pentas Akhir Bintang SandakanFM yang berlangsung di Centre Court Sejati Walk, semalam, melayakkan dirinya dinobat sebagai juara.
Acara meriah yang menyaksikan peserta dari Telupid membawakan lagu bertajuk Gemuruh dari kumpulan Wings dan Search itu berjaya memukau barisan juri professional.
Hasil kejayaan itu, Mohd Casmir membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta trofi dan sijil selain menerima tambahan RM1,000 bagi kategori vokal terbaik.

Tempat kedua pula dimenangi Nabila Sutrisno dari Sandakan yang membawa pulang RM3,000 beserta sijil dan trofi.
Nabila yang membawakan lagu Aisyah Retno bertajuk Sutera turut berjaya memenangi kategori persembahan terbaik dan peserta paling popular menjadikan hadiah kemenangan keseluruhan sebanyak RM5,000.
Manakala tempat ketiga dimenangi Hafiz Benjamin yang membawakan lagu bertajuk Pelangi Petang dari penyanyi lagenda Allahyarham Sudirman Arshad menerima hadiah RM2,000 beserta sijil dan trofi.

Tiga lagi peserta akhir pertandingan itu, Aisyah Benedict, Asratul Asah, Nurul Aisyah Benedict dan Mohd Hanafi dari Kinabatangan.
Juri yang diberikan tanggungjawab pertandingan berkenaan adalah terdiri daripada komposer terkenal, Julfekar Ahmad Shah, Nazri Saidali dan Rhowell Roland.
Hadiah disampaikan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee yang turut memuji penganjuran program berkenaan sebagai salah satu program mencungkil bakat baharu.
Katanya, ia juga bersesuaian dengan peranan Sandakanfm yang terus menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat dari semasa ke semasa.
Sementara itu, acara diserikan dengan persembahan nyanyian oleh artis jemputan, Min Yasmin dan nyanyian solo serta battle diiringi kumpulan tidak asing lagi dari Sandakan, iaitu Atomic Power.
Comments