Bantuan segera disalur kepada mangsa kebakaran di Sandakan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

19 April 2026
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian kebakaran besar yang memusnahkan ratusan rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah menjamin keselamatan dan menyediakan keperluan asas kepada semua mangsa yang terjejas.
“Kerajaan negeri telah menggerakkan semua agensi berkaitan bagi menghulurkan bantuan segera kepada semua mangsa terjejas.
“Keutamaan kita ketika ini adalah untuk memastikan kebajikan semua mangsa dijaga termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan serta keperluan asas,” katanya dalam menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Hajiji menegaskan, kerajaan negeri akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan segala bentuk bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan.
Awal pagi tadi, kira-kira 200 rumah atas air dilaporkan musnah dalam kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan Datuk Walter Kenson yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan mengisytiharkan bencana kebakaran susulan kejadian itu.
Sehubungan itu, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan pada 7 pagi tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.















Comments