MOSTI komited kembangkan hab-hab teknologi di Malaysia Timur
5 Okt 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: MOSTI komited untuk mengembangkan hab-hab teknologi di bahagian timur Malaysia dengan memberikan sokongan berbentuk latihan, sumber dan bimbingan kepada usahawan-usahawan teknologi baru.
Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, usaha ini melibatkan kerjasama dengan penduduk setempat untuk memahami keperluan mereka dan memastikan teknologi dapat memberi faedah kepada semua orang secara adil.
"Borneo mempunyai potensi besar dalam bidang teknologi yang belum diteroka sepenuhnya. Ini adalah salah satu keutamaan kita untuk mengurangkan jurang antara Semenanjung dan Borneo.
“Borneo juga menawarkan peluang dan perspektif yang berbeza untuk usahawan-usahawan tempatan,” katanya ketika menyertai panel perbincangan ‘Connecting the Dots: Driving The Success of Malaysia’s Tech Start-ups’ di Kuala Lumpur Venture Finance Decodes hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa salah satu cabaran utama di bahagian timur Malaysia adalah jurang digital yang disebabkan oleh masalah infrastruktur seperti telekomunikasi.
Tambah beliau, walaupun bahagian timur Malaysia kaya dengan sumber seperti arang batu dan hutan, ia masih kurang berkembang dalam bidang teknologi. Oleh itu, beliau menyarankan usahawan dan syarikat pemula tempatan untuk melibatkan diri dalam bidang tenaga hijau yang mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran.
Selain itu, beliau juga menekankan pentingnya sokongan dan infrastruktur untuk syarikat pemula niaga di negara ini. Untuk tujuan itu, beliau berkata, MOSTI telah melancarkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan ekosistem syarikat pemula niaga seperti Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Niaga Malaysia 2021-2030 yang menggariskan visi dan strategi untuk memajukan sains, teknologi dan inovasi.
"Kita juga berusaha untuk meningkatkan kerjasama antara syarikat pemula niaga dengan industri. MOSTI juga bekerjasama dengan agensi-agensi kementerian lain untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang dapat membantu syarikat pemula niaga dalam hal-hal seperti pembiayaan, pendigitalan, pensijilan dan akses ke pasaran dalam dan luar negara.
“Pada masa yang sama, kita juga berusaha untuk membangun dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang teknologi,” katanya.
Comments