MOT cari jalan perluas FLYSiswa untuk pelajar IPTS
- nabalunews
- Nov 5, 2025
- 1 min read

5 November 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mencari jalan untuk memperluaskan inisiatif FLYSiswa, bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM400 kepada pelajar yang memerlukan di peringkat institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Menterinya, Anthony Loke berkata, perkara itu antara yang difikirkan oleh pihaknya apabila melaksanakan inisiatif berkenaan sebelum ini.
Namun katanya, buat masa ini kerajaan berdepan kekangan kewangan untuk memperluaskan pelaksanaan inisiatif itu kepada pelajar IPTS kerana ia melibatkan jumlah penerima yang besar.
“Sama ada nak diperluaskan kepada pelajar IPTS ia melibatkan jumlah sangat besar. Bukan kita tak nak tapi ada kekangan dari segi kewangan. Satu orang RM400, jumlah bukan kecil, kalau 100,000 orang, jadi RM40 juta.
“Namun begitu kita tetap mencari jalan untuk melihat bagaimana dapat memperluaskan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan di peringkat IPTS,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai adakah inisiatif FLYSiswa akan diperluaskan kepada pelajar yang menuntut di IPTS.
Pada masa sama, Anthony menjelaskan bahawa setakat ini, baucar tiket penerbangan bernilai RM400 itu diberikan kepada pelajar peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik serta kolej perguruan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurutnya, kemudahan itu bertujuan membantu pelajar, khususnya dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung, untuk pulang ke kampung halaman dengan kos yang lebih berpatutan.















Comments