top of page
  • Wartawan Nabalu News

MOTAC serius tangani isu kebersihan di Semporna


18 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SEMPORNA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan notis merah kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap isu kebersihan di daerah ini yang menjejaskan imej pelancongan negara.


Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, beliau telah menegur pihak-pihak berkenaan agar mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah tersebut, tetapi keadaan masih tidak berubah sehingga kini.


Beliau berkata, antara isu yang dikeluhkan oleh pelancong ke Semporna ialah persekitaran yang sangat kotor dengan terdapat sampah sarap yang mengeluarkan bau busuk, keracunan makanan, perkhidmatan hospitaliti yang tidak memuaskan, dan gangguan serangga.


"Jika isu-isu ini tidak dapat diselesaikan, saya akan mengarahkan MOTAC untuk mengeluarkan notis merah, hal ini merupakan langkah terakhir yang tidak dapat dielakkan sekiranya perkara ini gagal diselesaikan," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan keracunan makanan baru-baru ini sehingga pesakit mengalami cirit-birit serta terpaksa dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan terapi intravena (IV) dan perkara ini boleh mengancam kesihatan orang awam termasuk pelancong.


Jelas beliau, isu berkenaan turut dipanjangkan kepada Pejabat MOTAC di Sabah serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) untuk tindakan sewajarnya dilakukan segera.


"Saya memohon agar MOTAC Sabah, KePKAS serta pihak berkenaan terlibat untuk mengemukakan cadangan dan pelan tindakan bagi menyelesaikan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada kepada saya dengan kadar segera dalam memberikan keselesaan kepada para pelancong," ulas beliau.


Tambah Tiong, pihaknya tidak mahu pelancong melalui pengalaman dan situasi sukar ketika melancong ke Semporna dan KePKAS juga perlu memberi perhatian selain meneliti semua kawasan pelancongan sama ada bandar dan tepi pantai serta bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk pembersihan dan penambahbaikan.


Semporna merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Sabah yang menawarkan keindahan pulau-pulau dan aktiviti menyelam dan snorkeling di beberapa lokasi terbaik di dunia seperti Pulau Sipadan, Mabul, Kapalai, Mataking dan Pom Pom.


Beliau berkata, MOTAC komited untuk memastikan Semporna menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia yang bersih, selamat dan selesa bagi semua pengunjung.



Komentarze


bottom of page