Muka-muka baharu sedia galas tanggungjawab bantu Ewon di Kadamaian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Muka-muka baharu sedia galas tanggungjawab bantu Ewon di Kadamaian



3 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pelantikan golongan muda dalam barisan kepimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud satu pengiktirafan kepada golongan itu yang mempunyai kewibawaan dan ketokohan selaras dengan penjenamaan baharu parti itu.


Mereka menyatakan, ini juga bersesuaian dengan perubahan politik arus perdana yang mahukan agar golongan muda berkaliber diberikan peluang menonjolkan kepimpinan mereka.


Naib 1 Ketua Pemuda UPKO Kota Belud Dr. Rizoh Bosorang yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa baharu UPKO Bahagian itu berkata, pelantikan itu satu amanah dan tanggungjawab besar dalam memantapkan pelayanan parti diperingkat akar umbi.


Dr.Rizoh Bosorang

Beliau berkata, ia seterusnya menjadikan UPKO terus kekal relevan dan menyerlah dalam senario politik di Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.


“Saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan sebagai salah satu pemimpin parti diperingkat Bahagian. Pelantikan tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada golongan muda dan usaha mengangkat aspirasi anak-anak muda dalam politik, khususnya dalam kawasan Kadamaian.


“Pada saya, jawatan dalam politik adalah salah satu platform untuk saya melayani komuniti, khususnya kawasan luar bandar yang memerlukan dukungan dan pembelaan,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Dr. Rizoh berharap, semua barisan kepimpinan baharu dan lama parti itu di Kota Belud dapat memberikan kerjasama bagi memantapkan lagi parti.


“Saya mengalu-alukan cadangan, pandangan dan bimbingan dari rakan-rakan senior untuk sama-sama bergerak sebagai satu pasukan dalam melayani komuniti dengan lebih berimpak dan berwawasan.


“Pada saya, pelayanan yang baik, berimpak dan berterusan bermula dari pengurusan organisasi atau program yang sistematik dan tersusun. Maka, rekod dan analisa data menjadi info berguna dalam merancang strategi pelayanan dan program parti,” katanya.


Dari segi skop pelayanan dan sasaran Dr. Rizoh berkata, beliau akan memberi fokus kepada pemuda, belia dan pelajar.


“Ini termasuklah mengetengahkan isu-isu yang menjadi fokus utama dalam kehidupan harian mereka, selain membantu mengerakkan badan-badan NGO agar terlibat aktif dalam pembangunan sosioekonomi komuniti di Kadamaian,” katanya.


Katanya lagi, antara program yang boleh dirancang bagi golongan sasaran adalah penganjuran kejohanan sukan termasuk badminton dan bola sepak bersesuaian dengan minat golongan itu.


“Kita juga merancang untuk mengadakan kem motivasi pelajar sekolah, kembara minda, program sosioekonomi belia seperti projek fertigasi dan penternakan itik,” katanya.


Bagi Ketua Generasi Muda (GEM) UPKO Kota Belud, Vod Zanix Sidin, pelantikan sebagai ahli jawatankuasa dalam barisan kepimpinan UPKO Bahagian itu satu penghormatan kepada golongan muda sebagai pelapis kepimpinan parti akan datang.


Vod Zanix Sidin

Terima kasih kepada Ketua Bahagian, Datuk Ewon Benedick dan ahli-ahli senior UPKO atas perlantikan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya.


“Sebagai adik dalam barisan AJK yang baharu, saya bersedia menggalas tugas dan akan memberi kerjasama sebaik mungkin.


“Saya berharap dapat membuat yang terbaik untuk ‘keluarga’ ini supaya saya dan rakan-rakan barisan AJK baharu menjadi rakan seperjuangan yang bukan hanya berpolitik semata-mata tapi juga dapat memberi perubahan sosio politik di bahagian Kota Belud,” katanya.


Vod berkata, gandingan para pemimpin lama dan generasi muda dalam barisan kepimpinan UPKO Kota Belud pasitnya akan meningkatkan lagi minat golongan muda berjuang bersama parti itu.


“Perubahan positif bergantung dengan keperibadian kita masing-masing, oleh itu kita perlu bekerja keras melalui proses perubahan diri sendiri terlebih dahulu dan seterusnya kita akan memberi ‘vibe’ positif kepada orang sekeliling kita.


“Dalam perjuangan parti, kita harus berpegang kepada kunci utama iaitu berani kerana benar, ikhlas berbakti dan telus bekerja,” katanya.


Sementara itu Ketua Wanita Cawangan Kg. Tuguson Ferneystelin @ Ferneysto Matinin merakamkan ucapan terima kasih kerana pucuk pimpinan parti Bahagian Kota Belud melantik wakil wanita dalam barisan kepimpinan itu.


Ferneystelin @ Ferneysto Matinin

“Pelantikan ini satu penghormatan dan kepercayaan kepada golongan wanita sebagai pemimpin dalam politik.


“Saya berharap melalui penyertaan saya dalam barisan kepimpinan UPKO Bahagian Kota Belud, akan menggalakkan atau menarik minat lebih ramai wanita menyertai arena politik.


“Saya juga akan mewakili golongan wanita untuk menyampikan atau menyuarakan isu-isu atau keperluan berkaitan wanita di kawasan Kota Belud khususnya di Kadamaian,” katanya.


Ferney berharap semua barisan ahli jawatankuasa UPKO Bahagian dapat memberikan kerjasama untuk memantapkan lagi UPKO di Kadamaian.


“Dengan kerjasama dan persefahaman semua ahli jawatankuasa UPKO bahagian Kota Belud, saya yakin kita dapat memantapkan parti ini terus cemerlang,” katanya.


Katanya lagi, sebagai persediaan pilihan raya pada masa akan datang beliau akan membantu memberikan kefahaman kepada masyarakat Kadamaian perjuangan UPKO agar mereka memahaminya seterusnya memilih parti ini sebagai pilihan utama.


Sementara itu Juin Kulod berharap semua ahli jawatankuasa UPKO Bahagian Kota Belud yang baharu dapat meneruskan kerjasama sedia ada untuk memantapkan parti terutamanya menghadapi pilihan raya akan datang.


Juin Kulod

“Terima kasih kepada Datuk Ewon Benedick selaku Ketua Bahagian kerana memberi kepercayaan kepada saya menjadi sebahagian daripada kepimpinan UPKO di peringkat bahagian,” katanya.


Bagi Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang baru dilantik Solumin Salanu, beliau akan menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin untuk memastikan Datuk Ewon terus kekal sebagai wakil rakyat Kadamaian pada pilihan raya akan datang.


“Kami akan memastikan UPKO Kota Belud terus menjadi pilihan utama masyarakat sini dan bekerja keras meningkatkan majoriti kemenangan Datuk Ewon pada pilihan raya akan datang,” katanya.


Solumin Salanu

Katanya lagi, jumlah pengundi di Kadamaian kini bertambah dan kebanyakannya pengundi muda.


“Oleh itu sebagai persediaan, kita akan memulakan gerak kerja lebih awal bagi memberikan penjelasan pelbagai isu semasa termasuk isu politik agar golongan muda lebih memahaminya,” katanya.


bottom of page