Muzik Menyatu Jemaat: Sumbangan Ewon Perkasa Gereja SIB Kebidahan
- nabalunews
- Jun 19, 2025
- 1 min read

19 Jun 2025
KOTA BELUD: Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Kebidahan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick atas sumbangan dana yang telah disampaikan sempena sambutan Pesta Kaamatan Kampung Kebidahan pada 6 Jun lalu.
Menurut Ketua Gereja SIB Kebidahan, Siol Ramboi, sumbangan tersebut telah dimanfaatkan untuk pembelian satu set lengkap kelengkapan muzik baharu bagi kegunaan ibadah serta pelbagai aktiviti gereja. Beliau menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai satu sokongan bermakna yang memberi impak positif kepada pembangunan rohani komuniti setempat.
“Saya mewakili seluruh warga jemaat SIB Kebidahan merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan dan komitmen beliau terhadap usaha memperkasa kehidupan rohani masyarakat di kawasan ini,” ujar beliau.

Siol turut merakamkan penghargaan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian atas kerjasama serta sokongan dalam merealisasikan usaha gereja untuk memiliki kelengkapan muzik sendiri. Beliau menzahirkan keyakinan bahawa suasana ibadah akan menjadi lebih berkesan serta memberi semangat baharu kepada para jemaat.
Majlis penyerahan sumbangan telah berlangsung bersempena sambutan Kaamatan Kampung Kebidahan yang dirasmikan sendiri oleh Ewon. Dalam majlis tersebut, beliau telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada empat penerima utama, iaitu SIB Kebidahan, SIB Bundu Lapak, Kelab Belia Kebidahan, serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kebidahan.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan pihak wakil rakyat untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan rohani di kawasan luar bandar, khususnya dalam kalangan masyarakat Kadamaian.
Sumbangan tersebut bukan sahaja menyokong aspek keagamaan, malah turut memperkukuh semangat kebersamaan serta nilai perpaduan yang menjadi teras kepada sambutan Pesta Kaamatan.















Comments