MYFutureJobs Tawar Lebih 95,000 Peluang Pekerjaan
- nabalunews
- 4 days ago
- 2 min read

22 Ogos 2026
KOTA KINABALU : Lebih 95,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi platform perkhidmatan pekerjaan nasional MYFutureJobs.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan menjelaskan, jumlah majikan di negeri ini yang mendaftar dengan portal berkenaan turut mencecah 15,000.
"Ini menunjukkan terdapat permintaan pekerjaan yang besar dan kita perlu memastikan bakat tempatan mempunyai kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri.
"Penganjuran karnival kerjaya bukan sekadar platform menawarkan pekerjaan, malah menjadi medan menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan sebenar industri.
"Bagi tempoh Januari hingga 24 Julai 2026, lebih 327 karnival dan program kerjaya telah dianjurkan di Sabah dengan kehadiran lebih 11,000 pencari kerja.
"Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut melaksanakan anjakan paradigma dalam memperkukuh dan memperkasa pasaran buruh Sabah menerusi Sabah Talent Development Centre (STDC)," ujarnya ketika berucap pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas Kota Kinabalu 2026 di sini, pada Sabtu.
Khairul Firdaus berkata, STDC berperanan sebagai platform strategik yang mengintegrasikan pembangunan bakat selari dengan keperluan industri serta maklumat pasaran buruh, khususnya dalam aspek peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah, industri, institusi pendidikan serta penyedia latihan akan terus diperkukuh bagi memastikan bakat tempatan lebih responsif, kompetitif dan selari dengan keperluan pekerjaan masa hadapan.
"Karnival yang berlangsung selama dua hari ini menghimpunkan 30 majikan daripada industri minyak dan gas serta sektor berkaitan dengan menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada graduan, pencari kerja dan bakat tempatan.
"Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi tawaran gaji sehingga RM12,000 sebulan, sekali gus memberi ruang kepada bakat tempatan mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran dan kelayakan mereka," tambahnya.
Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas seterusnya akan diteruskan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 17 hingga 18 Oktober 2026 dalam usaha memperluas akses kepada peluang kerjaya industri minyak dan gas di wilayah Borneo.
Jelas Khairul Firdaus, pencari kerja boleh melayari portal MYFutureJobs untuk mendapatkan maklumat lanjut serta mengemukakan permohonan bagi peluang pekerjaan yang ditawarkan.
Hadir sama, wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia (PETRONAS), Datuk Ir Bacho Pilong dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlijah Danin./Penerangan-















Comments