top of page

Naik taraf Wellness Hub Putatan perkukuh pembudayaan hidup sihat

  • nabalunews
  • 13 minutes ago
  • 1 min read

ree

6 Disember 2025


KOTA KINABALU: Penaiktarafan Wellness Hub Putatan, satu-satunya pusat sehenti kesihatan di Pantai Barat Selatan Sabah, dijangka melonjakkan akses masyarakat kepada perkhidmatan pembudayaan hidup sihat yang lebih komprehensif dan berkesan.


Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), fasiliti berwajah baharu itu kini menawarkan 13 pakej perkhidmatan kesejahteraan, merangkumi intervensi hidup sihat, sesi bimbingan bersemuka dan atas talian, serta program komuniti yang dirangka secara lebih menyeluruh.


"Penaiktarafan ini selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Kesihatan, melalui kerjasama pintar antara kementerian dan komuniti tempatan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan.


“Dengan kapasiti yang lebih besar, Wellness Hub Putatan kini mampu menampung sehingga 100 orang pada satu masa, berbanding hanya 15 hingga 18 orang ketika beroperasi sebagai Wellness Corner sejak tahun 2020,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.


Terdahulu, Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Wellness Hub Putatan itu disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, di sini, hari ini.


KKM memaklumkan, projek naik taraf yang bermula 12 Mei hingga 3 September 2025 itu membolehkan perkhidmatan disampaikan dengan lebih intensif dan terancang, selain menambah baik pengalaman pengguna melalui kemudahan yang lebih selesa.


Antara kemudahan baharu yang disediakan ialah Bilik Perkhidmatan Berhenti Merokok, Bilik Runding Cara Hidup Sihat, Wellness Studio, Bilik Gerakan MyChampion, Bilik Seni Kreatif dan Resilien, Galeri Info Sihat, Ruang Bicara Sihat, Gimnasium, My Green Hands serta Bilik Peralatan.


"Penambahbaikan ini dijangka memberi impak utama kepada komuniti termasuk membantu masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten.


"Dalam masa sama, ia juga menjadikan intervensi kesihatan lebih terancang dan intensif selain menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti kesihatan serta peningkatan kesejahteraan secara menyeluruh," menurut KKM.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page