Nelson Bentang Pelan Pembangunan Komprehensif Untuk Transformasi Limbahau
- nabalunews
- Nov 27, 2025
- 2 min read

27 November 2025
PAPAR: Satu pelan tindakan pembangunan komprehensif berasaskan lima teras utama dibentangkan calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) N27 Limbahau, Datuk Nelson Wences Angang, sebagai teras perjuangan dalam memacu transformasi sosial, ekonomi dan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Berteraskan slogan “Limbahau Didahulukan, Sabah First”, pelan itu digagaskan dengan visi menjadikan Limbahau sebagai kawasan yang lebih maju, sejahtera dan bersatu melalui kepimpinan baharu yang menumpukan kebajikan rakyat.
Nelson, yang juga Ahli Dewan Negara, berkata pelan tersebut memberi tumpuan kepada penaiktarafan infrastruktur asas, pemerkasaan pendidikan belia, pembangunan ekonomi tempatan, pemerkasaan wanita dan keluarga, serta tadbir urus yang lebih telus dan berkesan.
“Keutamaan saya adalah memastikan setiap kampung menikmati kemudahan asas yang lengkap, termasuk jalan raya yang baik, saliran teratur, bekalan air bersih dan elektrik stabil serta capaian internet yang diperluas.
“Inilah asas sebenar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, dan jika perkara asas ini dapat diselesaikan, pembangunan Limbahau boleh bergerak jauh lebih cepat,” katanya.
Mengulas teras kedua, Nelson berkata pendidikan dan latihan kerja akan diperkukuh antaranya melalui bantuan pendidikan kepada belia, program latihan teknikal, inisiatif keusahawanan serta penubuhan unit khidmat nasihat kerjaya bagi mempersiapkan anak muda memasuki pasaran pekerjaan.
Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan pengembangan ekonomi akar umbi sebagai teras ketiga, khususnya melalui pengukuhan sektor pertanian dan pengembangan potensi agropelancongan.
Antara inisiatif yang dirancang ialah pembinaan pusat tamu, penyediaan geran untuk perusahaan kecil, pertanian dan penternakan serta sokongan kepada penggiat agropelancongan tempatan.
“Teras keempat pula memberi perhatian kepada pembangunan wanita dan keluarga melalui Program Suri Niaga Limbahau yang bertujuan membantu suri rumah dan ibu tunggal menjana pendapatan dari rumah.
“Selain itu, sebuah Unit Khas Wanita di Pejabat ADUN akan diwujudkan sebagai saluran aduan dan cadangan terus kepada wakil rakyat, di samping penubuhan pusat aktiviti komuniti wanita dan warga emas yang antara lainnya boleh digunakan sebagai kelas kemahiran,” jelasnya.
Bagi teras kelima, Nelson berkata tadbir urus akan diperkasa dengan memantapkan peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melalui proses pemilihan komuniti serta memastikan setiap pelaksanaan projek komuniti dilakukan secara telus dan tersusun.
Pelan berkenaan turut merangkumi penubuhan Skuad Limbahau, sebuah gerakan masyarakat yang diwujudkan bagi menyelaras kerjasama antara penduduk dan pejabat wakil rakyat agar perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, inklusif dan berkesan.
“Pelan pembangunan ini bukan pelan retorik, tetapi satu rangka tindakan yang memberi fokus kepada peningkatan taraf hidup rakyat dan penyelesaian masalah sebenar di peringkat akar umbi,” katanya.


















Comments