NETIZEN KECAM CARA TAJUDDIN KENDALI SIDANG MEDIA, TIADA EMPATI MANGSA KEMALANGAN LRT
- Wartawan Nabalu News
- May 26, 2021
- 2 min read
Updated: May 27, 2021

26 Mei 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pelbagai pihak termasuk netizen mengkritik Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak sensitif kepada mangsa kejadian nahas LRT Kelana Jaya, kelmarin.
Sehubungan itu satu petisyen yang dibuat oleh netizen untuk mendesak Tajuddin meletak jawatan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Petisyen menerusi talian Change.org itu dilancarkan susulan ketidakpuasan hati netizen terhadap sikap Tajuddin yang kurang profesional dalam mengendalikan sidang media.

Petisyen itu berjaya mendapat sokongan lebih 115,000 orang, sejak ia dilancarkan kelmarin.
Susulan daripada itu, #LetakJawatanTajuddin dan #TajuddinLetakJawatan trending di Twitter sejak semalam.
Antara komen netizen ialah:
“Inilah kualiti dan perangai pengerusi prasarana dan MP Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang cukup teruk terhadap kemalangan pelanggaran tren LRT.
“Dia perlu dipecat dengan segera. Pelantikan politik dalam GLC perlu dihentikan”.
Komen lain di Twitter mengenai Tajuddin ialah: “Dia boleh gelak dan bersahaja bercakap pasal keadaan mangsa pelanggaran LRT. Tak ada rasa kesal atau serius untuk apa yang berlaku. Langsung tak profesional”.

Netizen turut membandingkan sikap pengerusi syarikat di Jepun dan Malaysia dengan menyatakan:
“Kalau di Jepun, pengerusi syarikat akan tunduk mohon maaf di depan televisyen dan umum letak jawatan serta merta. Di negeri ini pengerusi sindir wartawan
Media melaporkan, melalui sidang akhbar itu, bukan sahaja bahasa yang digunakan teruk, tetapi beliau dilihat tidak menguasai fakta dan data berkaitan kemalangan berkenaan”.
Ketika menjawab soalan wartawan mengenai situasi di bawah terowong LRT berkenaan, Tajuddin berkata: “normal … hanya dua tren bersama, saling bercium …” dan kemudian ketawa kecil yang disifatkan pelbagai pihak tidak sensitif.
Penjelasan Tajuddin mengenai ketiadaannya di lokasi tragedi semalam juga dikecam habis-habisan di media sosial. "Saya baru habis tugasan dengan syarikat di Subang petang (semalam), saya pun dapat tahu lambat. Saya pun dah sedia untuk vaksinasi hari ini. Saya patut terima dos kedua hari ini, you know?" kata Tajuddin ketika ditanya Wartawan. Tajuddin turut menjelaskan beliau tidak dimaklumkan dengan cukup pantas, oleh itu beliau membuat keputusan untuk datang ‘first thing in the morning’. Intonasi dan cara beliau menjawab persoalan ini menunjukkan tahap empati yang cukup rendah sehinggakan ramai warganet memberi komen supaya beliau meletak jawatan sebagai pengerusi di syarikat GLC berkenaan.















Comments