Op Global: 171 Ditahan Bantu Siasatan Eksploitasi Kanak-kanak, 402 Mangsa Diselamatkan
- nabalunews
- Sep 11, 2024
- 2 min read

11 September 2024
KUANTAN: Seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dipercayai milik sebuah kumpulan perniagaan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada Rabu.
Mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik sebuah kumpulan berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama, ustaz dan pengerusi rumah amal berkenaan.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 66 lelaki dan 105 wanita yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 17 hingga 64 tahun.
Susulan penahanan itu, beliau berkata pihaknya telah menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun, yang akan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
“Kanak-kanak yang diselamatkan ini kita akan saring kesihatan dan buat dokumentasi dan dijangka mengambil masa sehingga 14 hari, kerana melibatkan individu yang ramai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Razarudin berkata daripada maklumat risikan yang diterima, mangsa diajar untuk meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
Selain itu, beliau berkata mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal, selain suspek menggunakan objek panas bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan yang dilakukan.
“Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan, selain mereka juga menyentuh tubuh badan mangsa dengan alasan rawatan Islam.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak ini bukan anak yatim, bila lahir sahaja sampai umur setahun atau dua tahun mereka akan diletakkan di rumah amal itu dengan pengetahuan ibu bapa. Kegiatan mendoktrinkan kanak-kanak menggunakan pendekatan agama adalah satu perkara yang tidak baik,” katanya.
Razarudin juga tidak menolak kemungkinan kes kematian turut berlaku angkara kegiatan sindiket itu, namun akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan selain memaklumkan bermula tahun 2011 sehingga 7 Sept, lebih 40 laporan polis telah dibuat terhadap syarikat itu.
“Ada bekas ahli yang membuat laporan namun diugut sehingga mereka menarik balik laporan berkenaan,” katanya menambah tiada mana-mana parti politik terlibat dengan kegiatan syarikat tersebut buat masa ini.
Razarudin berkata kes berkenaan disiasat antaranya mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 |792], Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670].
Terdahulu, enam individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan di Negeri Sembilan, selepas polis menerima laporan berhubung syarikat itu bermula 2 Sept.
Op Global yang melibatkan lebih 700 anggota dan pegawai polis itu, dibantu agensi lain antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia Malaysia.
Sementara itu, Razarudin memaklumkan sebanyak 10 laporan polis turut dibuat terhadap Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) sejak 25 Ogos hingga 7 September.
Kommentare