Op Pedo 2.0: 31 individu ditahan, 880,000 fail lucah dirampas
- nabalunews
- Oct 25, 2025
- 1 min read

25 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Seramai 31 individu ditahan dalam operasi bersepadu besar-besaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Op Pedo 2.0, dengan rampasan lebih 880,000 fail bahan eksploitasi seksual kanak-kanak.
MCMC dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, operasi yang dilaksanakan dari 23 hingga 30 September lepas di 37 lokasi itu turut membabitkan seramai 206 pegawai dan anggota hasil risikan digital di seluruh negara.
Menurut MCMC, jumlah rampasan kali ini menunjukkan peningkatan 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0, sekali gus menggambarkan tahap serius ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak di ruang siber.

"Sindiket dikesan menggunakan pelbagai platform termasuk Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram serta Dark Web untuk berkongsi dan menjual bahan lucah kanak-kanak, dengan transaksi melalui e-dompet dan kod QR.
"Lebih membimbangkan, siasatan turut mendedahkan penglibatan remaja, termasuk seorang pelaku berusia 17 tahun yang merekodkan transaksi bernilai RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan," menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan pihaknya kekal komited bekerjasama rapat dengan PDRM dalam membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian.
Tambah kenyataan itu, MCMC turut memperkukuh perlindungan pengguna muda melalui inisiatif seperti Kempen Internet Selamat (KIS) dan cadangan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial.
Agensi itu menegaskan setiap kanak-kanak berhak dilindungi daripada pemangsa siber, justeru menggesa orang ramai menyalurkan maklumat atau laporan aktiviti mencurigakan kepada PDRM atau melalui portal aduan.mcmc.gov.my.















Comments