Operasi keselamatan ditingkatkan sempena Krismas, Tahun Baharu
- nabalunews
- Dec 20, 2025
- 2 min read

20 Disember 2025
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan terus berusaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya menerusi Kempen Kesedaran Jalan Raya sempena Perayaan Hari Krismas 2025 dan ambang Tahun Baharu 2026.
Usaha itu meliputi operasi keselamatan bagi memastikan kesejahteraan orang ramai, harta benda serta kelancaran pergerakan trafik di seluruh daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, operasi keselamatan itu juga memfokuskan keselamatan awam sepanjang musim cuti sekolah.

Katanya, ia termasuk aspek pencegahan jenayah, kawalan lalu lintas serta keselamatan rumah yang ditinggalkan penduduk.
"Operasi berkenaan digerakkan bermula 20 hingga 30 Disember dengan penglibatan lebih 200 anggota daripada pelbagai cawangan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan trafik, selain kerjasama agensi berkaitan.
"Bagi pencegahan jenayah, rondaan dan pemantauan dipertingkatkan di pusat hiburan, pusat membeli-belah serta kawasan tumpuan awam dan berkepadatan tinggi sekitar bandar Kota Kinabalu termasuk Inanam, Telipok dan Luyang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Kingfisher, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, operasi kawalan lalu lintas bersepadu dilaksanakan pada 30 dan 31 Disember serta 1 Januari 2026 bagi memastikan kelancaran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan, khususnya di laluan utama dan kawasan dikenal pasti berisiko tinggi.
"Orang ramai yang pulang bercuti dinasihatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi undang-undang jalan raya serta mendapatkan rehat mencukupi sebelum memulakan perjalanan, terutama ketika musim hujan yang masih berlarutan.

"Penduduk yang meninggalkan rumah pula digalakkan memaklumkan kepada balai polis berhampiran atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan rondaan keselamatan dijalankan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kasim berkata indeks jenayah di daerah ini menunjukkan trend penurunan apabila statistik tahunan bagi 2025 merekodkan 1,099 kes berbanding 1,156 kes pada tahun sebelumnya, iaitu pengurangan 57 kes atau 4.93 peratus.
"Bagi pecahan indeks jenayah tahun ini, jenayah kekerasan mencatat 115 kes manakala jenayah harta benda merekodkan 984 kes, yang kekal sebagai penyumbang utama keseluruhan statistik jenayah di Kota Kinabalu.
"Walaupun trend keseluruhan menurun, pihak polis mengesan peningkatan kecil kes kecurian melibatkan telefon bimbit dan barangan di pusat membeli-belah di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan, manakala kes pecah rumah serta jenayah jalanan mencatat penurunan," katanya.















Comments