Ops MARDOF Lahad Datu periksa 165 vesel
- nabalunews
- Jul 18, 2025
- 1 min read

18 Julai 2025
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya melakukan pemeriksaan terhadap 165 Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dan menahan sebuah kapal nelayan selepas dikesan melakukan dua kesalahan mengikut Akta
Perikanan 1985.
Operasi Bersepadu MARDOF Sabah Sirib 4/2025 itu dilaksanakan Maritim Malaysia Zon Lahad Datu dengan kerjasama Jabatan Perikanan selama lima hari yang berakhir hari ini.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan terhadap pematuhan syarat lesen vesel, pengesahan identiti tekong dan kru.
Malah katanya, pemeriksaan juga merangkumi penggunaan alatan menangkap ikan yang sah di sekitar perairan daerah ini.
“Sebanyak 165 VNT telah diperiksa melibatkan 264 individu terdiri daripada 253 warga
tempatan dan 11 warga asing.
“Satu tangkapan turut dilakukan melibatkan sebuah VNT yang dikesan melakukan dua kesalahan di perairan Madai, Kunak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, vesel terbabit ditahan kerana melanggar syarat sah lesen mengikut Akta
Perikanan 1985 dan gagal memaklumkan pertukaran tekong seperti ditetapkan di bawah
Enakmen Jabatan Perikanan Sabah (JPDS).
Katanya, operasi itu dijalankan secara berfasa iaitu melibatkan fasa pengenalan, operasi di laut, operasi di daratan serta sesi debrief.
“Seramai 30 pegawai dan anggota dari Maritim Malaysia dan DOF terlibat dalam pelaksanaan operasi ini,” katanya.
Sehubungan itu, Dzulfikhar menegaskan, pihak Maritim Malaysia komited untuk terus memperhebat penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu.
Katanya, ia demi memastikan sumber perikanan negara tidak terus dieksploitasi secara haram dan berterusan.
“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau
kejadian mencurigakan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau terus ke talian kecemasan 999 bagi maklum balas segera,” katanya.


















Comments