Ops Pantau KPDN: Bekalan Barangan Di Tawau Terkawal, Harga Patuh SHMMP
- nabalunews
- Mar 19
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
19 Mac 2026
TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau mengesahkan bahawa bekalan barangan kawalan di daerah ini berada dalam keadaan terkawal dan stabil menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026. Tiada sebarang isu kekurangan bekalan atau pembelian panik dikesan hasil pemantauan yang dijalankan pada hari ini.
Pemeriksaan Ops Pantau yang diketuai oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Tawau, Mohammad Roli Aliman, telah dijalankan di beberapa lokasi pemborong antaranya Bernas, Sazarice dan pembungkus semula minyak masak Lian Soon Ei di sekitar Tawau.
Pemeriksaan bertujuan memastikan bekalan barangan kawalan adalah mencukupi dan mudah diperoleh oleh pengguna menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Hasil pemantauan mendapati bekalan barangan di Tawau adalah mencukupi dan stabil, selain tidak berlaku pembelian panik. Barangan juga didapati dijual pada harga semasa yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, pemeriksaan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 dan pelaksanaan Sistem ECOSS bagi penjualan minyak masak turut dilaksanakan di Bataras, Batu 1 Tawau bagi memastikan barangan basah yang dijual mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan. Pemeriksaan awal mendapati peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan bagi barangan basah terpilih.
KPDN Tawau memberi jaminan bahawa pemantauan akan dipergiatkan dari semasa ke semasa di seluruh daerah ini sepanjang musim perayaan bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan barang kawalan sentiasa dipatuhi. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan ketidakpatuhan harga atau penyelewengan barangan kawalan boleh menyalurkannya melalui saluran berikut:
e-aduan.kpdn.gov.my atau menghubungi talian 089-776690 (KPDN Tawau) serta Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000 (Aduan Pengguna).















Comments