OPS TAPIS: 56.85 Gram Syabu Dirampas, Tujuh Suspek Dicekup
- nabalunews
- Jun 2
- 1 min read

1 Jun 2025
LAHAD DATU: Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan dalam operasi Ops Tapis yang dilaksanakan di daerah ini, semalam.
Operasi yang dijalankan di dua lokasi berasingan itu dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, hasil operasi berkenaan, pihaknya turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 56.85 gram.

Katanya, serbuan pertama dijalankan di Kampung Tulibas Kecil, Tungku, di sini dan berjaya menahan empat lelaki warga tempatan dan asing berusia 35 hingga 51 tahun.
“Dalam operasi berkenaan, pasukan operasi berjaya merampas 51.50 gram dadah disyaki syabu dan turut menyita dua motosikal serta wang tunai berjumlah RM520.
“Hasil ujian saringan mendapati semua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, serbuan kedua dilaksanakan di Felda Sahabat dan berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 37 tahun.
Katanya, semua suspek ditahan bersama 5.35 gram dadah syabu yang ditemui dalam kotak rokok.
“Dalam operasi kali ini, dua suspek lelaki didapati positif dadah manakala wanita terbabit pula negatif dadah,”katanya.
Sementara itu, Jimmy berkata, semua suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Katanya, pihak polis akan terus komited untuk membanteras jenayah dadah dan menyeru orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah berkenaan.
Comments