PANGGILAN TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN DG41 BAGI SABAH, SARAWAK TERGANTUNG SEPI?PANGGILAN TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN DG41 BAGI SABAH, SARAWAK TERGANTUNG SEPI?
top of page
  • Chonnel George

PANGGILAN TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN DG41 BAGI SABAH, SARAWAK TERGANTUNG SEPI?


7 Mac 2021

Chonnel George

Pertama sekali, Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) Sabah ingin menzahirkan jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk sesi temu duga jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG 41 yang telah berlangsung sejak Februari 2021 lepas bagi anak kelahiran Semenanjung.


Sesi temu duga siri pertama telah melabuhkan tirai dengan jayanya. Sementara itu, sesi temu duga siri kedua baru sahaja dihebahkan melalui laman rasmi SPP.



Sesi temu duga tersebut akan melibatkan 12 opsyen. Sebagai sesama rakan graduan dalam medan yang sama, GGPUA - Sabah menzahirkan 1001 kegembiraan buat rakan seperjuangan di Semenanjung Malaysia.


Nada yang berbeza tercatat sayu untuk graduan negeri di bawah bayu dan bumi kenyalang. Semangat Aki Nabalu tersergam megah tetapi kini berentap sayu. Sang Kenyalang megah terbang kian resah beradu. Panggilan temu duga bagi jawatan PPP DG41 bagi kedua-dua negeri ini ibaratnya tergantung sepi tanpa khabar yang pasti.


Janji ditabur, membungkam kalbu. Persoalan yang tiada berjawab, apakah khabar panggilan temu duga bagi graduan ISMP Universiti Awam Sabah dan Sarawak? Sahabat nun di Semenanjung kini bergerak padu, senyuman indah jelas terpampang di raut madu. Akankah ada perkhabaran yang ditunggu untuk graduan Sabah dan Sarawak? Menggenggam Ijazah tetapi lesu?


Pihak GGPUA-Sabah telah mengajukan isu ini kepada pihak KPM pada 17 Februari 2021 melalui e-mel tetapi sehingga kini belum mendapat sebarang maklum balas. Pihak kami juga sentiasa membuat susulan bagi mendapatkan status terkini hampir setiap hari. Surat sememangnya telah selamat diterima oleh pihak KPM tetapi tidak berjawab sehingga kini.



Kami mohon, berikanlah penjelasan yang sejujurnya berkaitan dengan unjuran pengambilan guru di Sabah dan Sarawak. Sekiranya benar suara-suara bingit menyatakan bahawa tiada kekosongan unjuran guru di Sabah dah Sarawak, mengapa tidak graduan ini diserap sahaja untuk program Felo Teach For Malaysia (TFM) kohort 2021, sementara menantikan panggilan temu duga PPP DG41 oleh pihak SPP? Program TFM ini adalah kerjasama pintar antara KPM dan Yayasan TFM. Graduan yang berjaya dijangka akan ditempatkan di sekolah seawal Jun 2021.


Graduan-graduan ISMP UA ini sudah mencapai kesiapsiagaan di tahap maksima untuk menggalas tugas sebagai pendidik. Pengajian empat tahun untuk menggenggam segulung ijazah ikhtisas pendidikan, disajikan dengan ilmu-ilmu bidang pendidikan serta pedagogi dalam pendidikan dan proses akhir iaitu Latihan Mengajar selama hampir lima bulan tempohnya di Sekolah Harian Kerajaan.


Kami mohon agar pihak KPM memperincikan berkenaan dengan unjuran kekosongan pengambilan guru di Sabah dan Sarawak selaras dengan dasar 90:10 di kedua-dua negeri tersebut. Sebagai rekod, seramai 458 graduan pendidikan UA bagi calon kelahiran Sabah yang masih setia menantikan panggilan temu duga.


Bahkan ada dalam kalangan graduan yang setia menunggu sejak tahun 2013 sehingga kini. Manakala, bagi graduan Sarawak pula, bilangan graduan yang menantikan panggilan temu duga mencecah lebih 400 graduan setakat Februari 2021.


Angka ini akan melonjak naik sekiranya tiada panggilan temu duga dihebahkan dalam masa terdekat seperti yang rakan kelahiran semenanjung. Angka-angka ini akan menghasilkan lambakan gergasi bagi graduan ISMP UA di Sabah dan Sarawak sekiranya tiada penyelesaian yang tuntas dilakukan.


Chonnel George

Wakil Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam - Sabah


bottom of page