Paras Air Tidak Konsisten, Jejas Bekalan ke Kampus UMS – Rahman Dahlan
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

30 Mei 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menjelaskan, paras air di Tangki R13 yang dikendalikan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sering berada di bawah tahap minimum, menyebabkan gangguan kepada sistem bekalan air ke dalam kampus universiti itu.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pemantauan berkala oleh pasukan teknikal universiti mendapati paras air di tangki berkenaan tidak konsisten dan tidak berada pada tahap optimum untuk pengepaman.
“Pada waktu tertentu, paras air berada di bawah tahap minimum sekali gus menyukarkan operasi pengepaman ke sistem bekalan dalaman kampus.
Bukti bergambar serta data paras air telah direkodkan dan boleh dikemukakan kepada JANS untuk rujukan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun JANS memaklumkan sebanyak 34 juta liter air disalurkan setiap hari ke Tangki R13, bekalan itu tidak diperuntukkan secara eksklusif kepada UMS.
“Tangki ini turut menyalurkan air kepada kawasan utara Kota Kinabalu yang sedang pesat membangun, termasuk Sepanggar, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), taman-taman perumahan dan Hospital Likas,” katanya.
Selain itu, katanya, UMS menghadapi kesukaran mengepam air dari tangki berkenaan ke kampus, terutamanya ketika waktu puncak disebabkan bekalan tidak mencukupi.
“Keadaan ini sekali gus menjejaskan keupayaan UMS untuk menyalurkan air secara berkesan ke seluruh kawasan kampus khususnya kolej kediaman pelajar,” katanya.
Mengulas berhubung saranan JANS agar UMS menggantikan pam air sedia ada, Abdul Rahman berkata, pusat pengajian tinggi itu mempunyai tiga unit pam yang masih berfungsi dengan baik walaupun telah digunakan sekian lama.
“Buktinya sehingga hari ini jika aras air dalam tangki R13 mencukupi untuk dipam, proses pengepaman bekalan air ke UMS tidak bermasalah.
“Jadi masalah air di UMS ini bukan kerana sistem pam UMS yang tidak efektif, tetapi kerana paras air dalam tangki R13 tidak mencukupi untuk dipam,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata UMS dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya Sabah bahawa kerja penyambungan paip dari Loji Rawatan Air Telibong 2 Fasa 2 ke kawasan utara Kota Kinabalu dijangka siap dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Saya yakin apabila saluran air dari loji tersebut yang berkapasiti 80 juta liter sehari mula disalurkan, isu gangguan bekalan air di UMS akan dapat diselesaikan,” katanya.
Terdahulu, dalam kenyataan pada Khamis, JANS menafikan bahawa pihaknya menjadi punca kepada masalah bekalan air dihadapi universiti tersebut, sebaliknya menyarankan agar UMS meningkatkan keupayaan operasi pengepaman airnya.
Comments