Parti politik di Borneo harus desak Putrajaya gugur rayuan isu kalimah AllahParti politik di Borneo harus desak Putrajaya gugur rayuan isu kalimah Allah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Parti politik di Borneo harus desak Putrajaya gugur rayuan isu kalimah Allah



5 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Semua parti politik di Borneo harus mendesak Putrajaya untuk menggugurkan rayuan kepada penggunaan kalimah Allah.


Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, para pengundi di Sarawak perlu menegaskan kepada kesemua calon yang bertanding pada pilihan raya negeri bahawa perkara ini perlu ditamatkan.


“Saya menyeru semua parti politik di Borneo, sama ada parti tempatan atau parti nasional peringkat negeri, untuk bersatu dan menggesa kerajaan (Datuk Seri) Ismail Sabri agar menarik balik rayuan Kerajaan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 yang telah memutuskan bahawa larangan kepada orang bukan Islam bagi penggunaan kalimah Allah sejak 1986 sebagai tidak berperlembagaan.


“Orang Melayu-Islam di Malaya merasa terancam dengan orang Kristian yang berdoa kepada Allah adalah kejutan budaya semata-mata kerana mereka tidak tinggal di Sabah, Sarawak, Indonesia dan negara-negara Arab di mana penggunaan kalimah tersebut menjadi kebiasaan.


“Orang Islam berdoa kepada Allah di masjid manakala Kristian di gereja tidak akan menyebabkan orang Islam murtad. Bukti terbaik adalah - Muslim membentuk hampir atau lebih daripada 90 peratus penduduk di negara Arab dan Indonesia, tambahan pula orang Islam dan Kristian di sana telah berkongsi kalimah "Allah" dan istilah agama lain selama 1,442 tahun dan 476 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Madius yang juga Presiden Upko berkata, cara untuk menangani kejutan budaya tidak dilakukan menerusi pendidikan antara agama dan penjelasan munasabah, sebaliknya, Kabinet Persekutuan.


Katanya, Orang-orang Malaya yang berfikiran imperialis ini percaya bahawa mereka berhak untuk menentukan cara hidup orang Sabah dan Sarawak, sama ada di negeri mereka atau di Semenanjung, kerana mereka enggan menerima bahawa Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Sabah dan Sarawak adalah rakan sekutu yang sama rata.


“Tiga puluh lima tahun kemudian, Mahkamah Tinggi pada Mac lalu mengeluarkan keputusan yang akan menjadikan Malaysia yang lebih kukuh apabila penganut Kristian Sabah, Sarawak dan Orang Asli diberi kebebasan untuk berdoa, sama seperti yang dilakukan oleh saudara-saudara Dayak mereka di seberang sempadan di Kalimantan.


“Ia adalah kemenangan bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan semua penuturnya, dan satu penghormatan kepada Bahasa Iban dan Bahasa Bidayuh, dua bahasa warisan di bumi Borneo.


“Malangnya, golongan fanatik dalam Kerajaan Muhyiddin bertegas untuk memanjangkan kesakitan yang dirasai oleh penganut Kristian Borneo dan turut dirasai oleh keluarga dan rakan mereka yang bukan Kristian dan yang beragama Islam,” katanya.


Sehubungan itu Madius menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk membuktikan sendiri konsep Keluarga Malaysia.


“Tunjukkan komitmen anda kepada MA63 dengan mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan mengenai kalimah Allah.


“Sekiranya Perdana Menteri perlukan sokongan keberanian moral untuk berdepan dengan beberapa orang fanatik Malaya dalam kabinetnya, saya amat berbesar hati untuk menemani beliau melawat Batu Bersumpah Peringatan Mengikut Perlembagaan (Memorial Oath Stone in accordance to the Constitution) yang dimaktubkan sejak 31 Ogos 1964 di Keningau,” katanya.


Dalam bahasa mudah, ia menggariskan kontrak sosial kebebasan beragama dan kesetiaan kepada Malaysia merangkumi empat perkara:


1. Agama bebas di Sabah

2. Tanah-tanah adat di bawah kuasa Kerajaan Negeri Sabah

3. Kerajaan menghormati dan memelihara adat anak negeri di Sabah

4. Sebagai balasan, sumpah taat setia kepada Kerajaan Malaysia oleh Penduduk Dalam Negeri Sabah.


Madius berkata, semangat kontrak sosial adalah diguna pakai di seluruh Sabah termasuk Labuan, Sarawak dan juga Malaya.


“Datuk Seri Ismail Sabri mempunyai peluang keemasan untuk memperbetulkan perkara salah yang telah dibiarkan berlarutan selama 35 tahun oleh empat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua kali), Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.


“Dengan menarik balik rayuan tersebut, beliau boleh menjadikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk berdiri dengan bangga dalam pilihan raya negeri yang akan datang, dan memandangkan kerajaannya memerlukan Sarawak dan Sabah, beliau boleh memujuk penyokong tegar Malaya untuk mencari cara yang sivil dan munasabah untuk menangani masalah kejutan budaya dalam kalangan Melayu-Muslim Malaya.


“Pada 16 Mac, 57 Ahli Parlimen, Senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari Sabah dan Sarawak telah bersama-sama menyuarakan gesaan ini. Mereka adalah wakil rakyat kerajaan iaitu PBB, PRS, PDP, SUPP dan Bersatu, dan juga ahli pembangkang daripada UPKO, PKR, DAP, Warisan dan PSB. Sebagai pemula kepada kenyataan bersama rentas parti tersebut, saya ingin mengulangi beberapa perkara penting,” katanya.


Madius berkata, penganut Kristian yang menggunakan "Allah" dan beberapa perkataan agama lain yang biasa dikongsi dengan orang Islam, majoritinya adalah orang Borneo dan Orang Asli, yang bertutur dalam Bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua atau pertama mereka, sama seperti orang Batak Kristian, Dayak, Ambon, Timor di Indonesia yang bertutur dalam Bahasa Indonesia. Di Sarawak, Bahasa Iban menggunakan “Allah Taala” manakala Bahasa Bidayuh menggunakan “Tuhan Alla” untuk Tuhan.


“Di Sabah dan Sarawak, populariti Bahasa Malaysia dalam kalangan penganut Kristian adalah hasil daripada Akta Bahasa Kebangsaan 1967, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang cuba memulihkan kembali kemerosotan Bahasa Melayu sewaktu zaman penjajahan.


“Umat Islam di Sabah dan Sarawak menyokong dan tidak pernah merasa terancam oleh saudara, sepupu, dan rakan Kristian mereka yang berdoa kepada Allah, iaitu Tuhan yang satu dalam semua kepercayaan Abraham.


“Orang Borneo benar-benar percaya bahawa manusia diciptakan berbeza untuk mengenali dan menyayangi antara satu sama lain, bukan untuk saling memperlekehkan dan mendiskriminasi antara satu sama lain, dan kehadiran masyarakat yang mempunyai anutan agama yang pelbagai adalah ketentuan Allah kerana Dia yang Maha Kuasa boleh menjadikan semua manusia dalam satu kepercayaan,” katanya.


Apendiks:

57 penandatangan kenyataan bersama pada 16 Mac adalah seperti berikut:


Ahli-Ahli Dewan Rakyat

1. Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (P170 Tuaran) 2. Chan Foong Hin (P172 Kota Kinabalu) 3. Datuk Darell Leiking (P174 Penampang) 4. Noorita Sual (P181 Tenom) 5. Vivian Wong Shir Yee (P186 Sandakan) 6. Datuk Christina Liew (P190 Tawau; N20 Api-api) 7. Mordi Bimol (P192 Mas Gading) 8. Kelvin Yii Lee Wuen (P195 Bandar Kuching) 9. Chong Chieng Jen (P196 Stampin) 10. Datuk Willie Mongin (P198 Puncak Borneo) 11. Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem (P199 Serian) 12. Masir Kujat (P202 Sri Aman) 13. Wong Ling Biu (P208 Sarikei) 14. Larry Sng (P209 Julau) 15. Alice Lau Kiong Yieng (P211 Lanang) 16. Oscar Ling Chai Yew (P212 Sibu) 17. Baru Bian (P214 Selangau) 18. Anyi Ngau (P220 Baram)


Ahli-ahli Dewan Negara

1. Adrian Lasimbang

2. Alan Ling Sie Kiong

3. Datuk Donald Peter Mojuntin

4. Robert Lau Hui Yew


Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak

1. Dato Ranum Mina (N1 Opar) 2. Datuk Harry Henry Jinep (N2 Tasik Biru) 3. Violet Violet Yong Wui Wui (N10 Pending) 4. See Chee How (N11 Batu Lintang) 5. Miro Simuh (N18 Serumbu) 6. Martin Ben (N22 Kedup) 7. John Ilus (N23 Bukit Semuja) 8. Datuk Snowdan Lawan (N30 Balai Ringin) 9. Dr Johnical Rayong (N33 Engkilili) 10. Gerald Rentap Jabu (N36 Layar) 11. Rolland Duat (N48 Meluan) 12. Alexander Vincent (N49 Ngemah) 13. Allan Gramong (N50 Machan) 14. Irene Mary Chang Oi Ling (N51 Bukit Asek) 15. Dato Sri Wong Soon Koh (N53 Bawang Assan) 16. David Wong Kee Woan (N54 Pelawan) 17. Christopher Gira (N59 Tamin) 18. Wilson Nyabong (N61 Pelagus) 19. Jefferson Jamit (N63 Bukit Goram) 20. Kennedy Chuk Pai (N66 Murum) 21. Chiew Chiu Sing (N68 Tanjung Batu) 22. Majang Renggi (N70 Samalaju) 23. Dennis Ngau (N77 Telang Usan)


Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah

1. Datuk Ewon Benedick (N11 Kadamaian) 2. Peto Galim (N18 Inanam) 2. Tan Lee Fatt (N19 Likas) 3. Phoong Jin Zhe (N21 Luyang) 4. Jannie Lasimbang (N25 Kepayan) 5. Datuk Peter Anthony (N42 Melalap) 6. Calvin Chong Ket Kiun (N55 Elopura) 7. Datuk Frankie Poon Ming Fung (N56 Tanjong Papat) 8. Justin Wong Yung Bin (N69 Sri Tanjong)

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page