Pasukan Keluarga Zara Qairina dan Peguam Bela Remaja Tertuduh Dibenar Sertai Prosiding Inkues
- nabalunews
- 7 days ago
- 2 min read

28 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Barisan peguam mewakili Noraidah Lamat iaitu ibu kepada Zara Qairina Mahathir dibenarkan menyertai prosiding inkues, 3 September depan sebagai pihak berkepentingan.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Hakim Azreena Aziz yang membuat keputusan itu turut membenarkan permohonan sama oleh barisan peguam mewakili lima remaja tertuduh yang didakwa terlibat dalam kes buli Zara Qairina.
Difahamkan, penetapan itu membolehkan peguam masing-masing memeriksa dan menyoal balas saksi selain meneliti dokumen berkaitan bagi membantu Koroner.

Pasukan peguam keluarga ibu Zara Qairina terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan dan Farrah Nasser.
Manakala barisan peguam lima remaja tertuduh diketuai Datuk Ram Singh bersama Joan Goh, Prem Elmer Ganasan, Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.
Peguam Shahlan Jufri berkata, pihaknya percaya inkues merupakan jalan terbaik untuk mencari kebenaran berhubung kematian Zara Qairina.
Malah katanya, prosiding inkues adalah antara proses awal yang dipohon sejak mula mewakili anak guam mereka.
"Memang dari awal lagi kami memohon inkues, bermula dengan permohonan gali semula kubur, bedah siasat dan seterusnya inkues.
“Inilah yang kami mahukan dan kami juga berhujah tadi supaya inkues ini diteruskan, bukan ditangguhkan.
"Mahkamah akhirnya menerima hujahan kami dan menolak permohonan peguam bela," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Turut hadir bersama Shahlan termasuk barisan peguam lain iaitu Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh menegaskan, inkues adalah untuk mencari fakta berhubung apa sebenarnya yang terjadi sehingga menyebabkannya berlaku.
Katanya, kebenaran selalu ada di mahkamah, melalui saksi, melalui pertanyaan soalan, namun pada dasarnya, inkues ini adalah mencari fakta.
“Fakta yang mengakibatkan sesuatu, kenapa, apa yang terjadi pada masa itulah. Kami tidak sepatutnya memberitahu anda mengenak pertuduhan.
“Tetapi bila berkenaan Mahkamah Kanak-Kanak dan kes kriminal, saya rasa pasukan saya akan mempertimbangkan apa yang kita patut atau tidak lakukan.
“Kami mempunyai kebenaran untuk membantah pada masa inkues. Ini semua bergantung kepada undang-undang. Undang-undang sangat jelas. Anak-anak harus dilindungi,” katanya.
Comments