top of page

Pasukan Tuaran Ungguli Kejohanan Kota Belud Double Dart Open 2025

  • nabalunews
  • Jun 18
  • 2 min read

18 Jun 2025


KOTA BELUD : Pasukan TEKANA KANA dari Tuaran telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Kota Belud Double Dart Open 2025, selepas menampilkan prestasi cemerlang sepanjang dua hari pertandingan yang berlangsung pada 14 dan 15 Jun di Dewan D'Lontupak View, Kampung Purak Ogis, Kota Belud.


Majlis perasmian kejohanan disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Menurut Pengerusi Penganjur, Alexius Sagun, kejohanan pada tahun ini menyaksikan penyertaan sebanyak 47 pasukan dari pelbagai daerah di Sabah serta dari Negara Brunei Darussalam. Ini sekaligus menjadikan edisi 2025 antara yang meriah dan kompetitif sejak penganjuran pertamanya.

Pasukan TEKANA KANA berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 setelah menewaskan pasukan DLDC, wakil Kelab Dart D’Lontupak, yang meraih tempat kedua. Sementara itu, dua pasukan lain iaitu D’Amazing USC Miracle dari Brunei dan DLDC SSG berkongsi kedudukan di tempat empat teratas.


Dalam kategori wanita, Kadamaian Single Ladies Open 2025, Lidwina Philip dari daerah Telupid muncul juara mengatasi 23 peserta lain. Manakala dalam kategori Silver Plate, pasukan Knight Dart Club diumumkan sebagai pemenang.


Alexius turut menyampaikan penghargaan kepada semua pemain dan pihak yang telah memberikan sokongan penuh terhadap kejohanan ini:


"Tahniah kepada semua pemenang yang telah menunjukkan prestasi cemerlang. Syabas juga kepada semua peserta yang menjayakan kejohanan ini dengan semangat kesukanan yang tinggi," katanya.


Alexius turut menzahirkan penghargaan kepada Ewon yang telah menjadi pencetus kepada penubuhan Kelab Dart D’Lontupak Kadamaian (DLDC), sebuah kelab yang kini berdaftar di bawah Suruhanjaya Sukan Malaysia (SKM) . Kejohanan ini adalah hasil usaha berterusan sejak tahun 2016 dalam memperkukuh budaya sukan dan perpaduan komuniti melalui acara dart.


Beliau juga memuji komitmen ahli jawatankuasa serta ahli kelab yang memainkan peranan penting dari peringkat perancangan sehinggalah kejohanan berakhir dengan jayanya.


"Kejohanan ini menjadi bukti bahawa kolaborasi erat antara komuniti dan pihak penganjur mampu melahirkan suasana sukan yang kondusif dan progresif. Tanpa sokongan padu daripada semua pihak, kejohanan ini tidak akan dapat diteruskan secara konsisten setiap tahun," tambah beliau.


Penganjur turut memaklumkan bahawa edisi seterusnya, Kota Belud Double Dart Open 2026, bakal menjanjikan pertandingan yang lebih sengit dan menarik, sekali gus mengekalkan momentum pembangunan sukan dart di daerah Kadamaian dan sekitarnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page