PBS setia kepada GRS, tolak kerjasama Warisan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PBS setia kepada GRS, tolak kerjasama Warisan



7 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan pendirian untuk kekal setia kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata walaupun beliau menghargai minat Warisan untuk bekerjasama dengan PBS pada pilihan raya Umum ke-15 akan datang, namun parti berbilang kaum tertua di Sabah itu memilih untuk komited sepenuhnya kepada GRS.


“Kami dalam PBS menghargai sikap politik Warisan dan Presidennya Datuk Seri Shafie Apdal untuk bekerjasama dan berkolaborasi dalam pilihan raya umum akan datang.


“Tetapi sebagai parti berbilang kaum berpengalaman tempatan, kami komited sepenuhnya dan setia sepenuhnya sebagai ahli asas dan rakan kongsi GRS,” kata Ongkili.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu menambah bahawa perjuangan politik GRS, seperti yang dihuraikan Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor pada pelancarannya bulan lepas, bukan sahaja mulia dan abadi tetapi juga berasaskan rakyat.


“Kami menjemput Warisan dan penyokong untuk memperjuang matlamat yang sama jika benar-benar mahu membangunkan Sabah dan menjamin sebuah Negeri yang makmur dan selamat, bebas daripada pendatang asing tanpa izin,” kata Maximus dalam kenyataan hari ini.


Tambahnya, mana-mana parti politik tempatan yang dihormati di Sabah dialukan memperjuangkan matlamat dan aspirasi GRS tanpa menjadi “ahli keluarga” GRS.


“Keperluan untuk kerjasama dan perkongsian politik sebegini tidak pernah begitu mendesak berbanding sebelum ini, terutamanya kerjasama dan perpaduan dalam politik, bukan sahaja di Sabah tetapi juga dengan Sarawak, iaitu Borneo Malaysia.


“Mari kita mulakan semula pencarian perpaduan politik seperti yang dicontohkan oleh parti-parti pengasas yang membantu pembentukan negara pada tahun 1963.


“Marilah kita mengambil iktibar daripada iktibar perpaduan sebelum ini yang diamalkan oleh pengasas parti politik Sabah dalam pembentukan Malaysia.


“Sabah Didahulukan, Sayang Sabah dan Sabah Bersatu. Itulah slogan-slogan yang kita semua harus pegang,” katanya.

bottom of page