top of page

PCHIPS Inisiatif UMS Perkukuh Kepimpinan Penjawat Awam Di Sabah

nabalunews
4 days ago
2 min read

19 September 2026


KOTA KINABALU - Seramai 30 pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sabah menyertai program Professional Certificate in High Impact Public Service Leadership (PCHIPS), inisiatif pembangunan kepimpinan selama tiga bulan bagi meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi.


Berteraskan tema "From Learning to Public Value", program hasil kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKEPT) dengan Institut Latihan Sektor Awam Negeri Sabah (INSAN) itu dirangka untuk menghubungkan pembangunan kompetensi dengan perubahan tingkah laku, aplikasi pembelajaran di tempat kerja dan penciptaan nilai awam.


Menurut kenyataan dari BKEPT, sepanjang program berkenaan peserta akan mengikuti 70 jam pembelajaran merangkumi sesi dalam kelas, kajian kes, latihan praktikal, tugasan di tempat kerja, bimbingan mentor-mentee serta Projek Penambahbaikan Akhir (Final Improvement Project).


"Program ini memberi tumpuan kepada enam kompetensi utama, iaitu pemikiran strategik, nilai dan budaya, tadbir urus, kualiti dan pelanggan, komunikasi serta digital.


"Pendekatan berkenaan bertujuan membentuk penjawat awam yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan kemahiran, malah mengamalkan integriti, akauntabiliti dan kolaborasi, selain berupaya berfikir secara strategik serta memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan secara beretika," demikian menurut kenyataan tersebut.


Kenyataan itu turut menyebut, impak program dinilai menerusi Projek Penambahbaikan di Tempat Kerja (Workplace Improvement Project), yang membolehkan peserta mengaplikasikan pembelajaran bagi menghasilkan penyelesaian dan penambahbaikan di organisasi masing-masing.


"Inisiatif itu menyasarkan peningkatan kompetensi individu, kecemerlangan organisasi dan pengukuhan tadbir urus Kerajaan Negeri Sabah, selain menyokong penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti serta aspirasi Sabah Maju Jaya.


"PCHIPS bukan sekadar membangunkan kompetensi, tetapi matlamat akhirnya adalah memastikan pembelajaran diterjemahkan kepada perubahan tingkah laku, kecemerlangan organisasi dan nilai yang dapat dirasai oleh rakyat," menurut kenyataan dari BKEPT.


Kerjasama UMS dan INSAN itu mencerminkan usaha berterusan kedua-dua institusi dalam membangunkan modal insan sektor awam dan melahirkan pemimpin yang mampu menterjemahkan ilmu kepada tindakan serta penambahbaikan yang memberi manfaat kepada rakyat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page