top of page

Pegawai baharu secara kontrak akan diserap ke jawatan tetap

  • Wartawan Nabalu News
  • Jan 25, 2024
  • 1 min read


25 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pengambilan pegawai baharu yang dilantik secara kontrak (interim) dalam perkhidmatan awam akan diserap ke perjawatan tetap.


Menurut kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kelmarin (24 Januari), kaedah baharu ini bertujuan mengukuhkan sistem saraan perkhidmatan awam dan memastikan kemampanan kewangan kerajaan bagi jangka masa panjang.


“Kerajaan pada 12 Julai 2023 telah memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam.


“Pengambilan secara lantikan kontrak sebagaimana yang diumum baru-baru ini adalah langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan melibatkan pindaan Akta yang berkaitan,” kata kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu lagi, pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) ini akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.


“Lantikan ke jawatan tetap ini juga tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan selanjutnya.


“Pelantikan itu berdasarkan peraturan dan dasar semasa yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Urusan Perkhidmatan (UP) termasuk penetapan gaji dan kemudahan.


"Semoga penambahbaikan sistem saraan perkhidmatan awam ini dapat memacu kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam serta menjaga kebajikan penjawat awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI," kata kenyataan itu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page