Pegawai perkhidmatan awam wajib pakai batik setiap Khamis
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pegawai perkhidmatan awam wajib pakai batik setiap Khamis


22 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Mulai 21 Ogos 2023, semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, manakala pemakaian batik pada hari bekerja lain, digalakkan.


Ini adalah berdasarkan surat edaran yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Zulkapli Mohamed yang dikeluarkan pada 21 Ogos 2023.


Surat edaran itu menyatakan bahawa ketetapan ini adalah untuk meneruskan sokongan kepada industri batik Malaysia dan memastikan ia kekal sebagai warisan dan lambang identiti rakyat Malaysia.


"Pemakaian batik Malaysia oleh pegawai perkhidmatan awam telah dilaksanakan semenjak 1985. Bagi meneruskan sokongan kepada industri batik Malaysia dan memastikan ia kekal sebagai warisan dan lambang identiti rakyat Malaysia, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain," katanya dalam surat edaran itu.


Surat edaran itu turut menyebut bahawa peraturan ini dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu.


Surat edaran itu juga telah diedarkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.


Dengan ketetapan baharu ini, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 mengenai Pemakaian Pakaian Batik Malaysia bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, dibatalkan. Surat pekeliling lama itu hanya menyatakan bahawa pemakaian batik Malaysia pada setiap Khamis, digalakkan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page