Pegawai SPRM perlu kreatif, adaptif hadapi jenayah rasuah – Azam Baki
- nabalunews
- Aug 29
- 1 min read

29 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Setiap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu berfikiran lebih kreatif, berdaya saing dan adaptif dalam mendepani cabaran jenayah rasuah yang semakin kompleks.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, warga kerja agensi itu perlu berani memperbaharui kemahiran seiring dengan perubahan teknologi kerana kaedah tradisional semata-mata tidak lagi mencukupi untuk mendepani isu semasa.
“Kita tidak boleh kekal dengan cara lama. Setiap pegawai SPRM perlu mengasah kreativiti dalam pendekatan siasatan, pendidikan dan komunikasi risiko rasuah.
“Persaingan dan cabaran kini menuntut kita bekerja dengan lebih pintar, bukan sekadar lebih kuat,” katanya ketika menyampaikan amanat khas sempena lawatan kerja ke pejabat SPRM Sarawak di Kuching, semalam.
Selain itu, Azam turut menggariskan hala tuju strategik SPRM dalam membanteras rasuah secara menyeluruh meliputi aspek penguatkuasaan, pendidikan dan pencegahan.
Menurutnya, ketiga-tiga aspek itu perlu dilaksanakan secara selari dengan pendekatan progresif dan responsif terhadap perubahan semasa.
"Aspek penguatkuasaan perlu dijalankan dengan tegas, cekap dan berintegriti tinggi bagi memastikan kes rasuah serta salah guna kuasa dapat ditangani dengan berkesan termasuk kes berprofil tinggi yang memberi impak kepada kepentingan awam,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, pada masa sama, pendidikan antirasuah juga perlu diperkembangkan secara lebih kreatif dan bersasar khususnya dalam mendidik masyarakat menolak budaya rasuah di peringkat akar umbi.
“Aspek pencegahan juga tidak boleh diketepikan, malah ia harus ditumpukan kepada penambahbaikan sistem dan prosedur dengan meneliti kelemahan serta mengenal pasti ruang yang boleh membawa kepada berlakunya rasuah,” katanya.


















Comments