Pekerja Pemasangan Paip Maut Tertimbus Di UMS
- nabalunews
- Sep 6
- 1 min read

6 September 2025
KOTA KINABALU: Seorang pekerja pemasangan paip maut selepas tertimbus oleh runtuhan tanah dalam kejadian di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun itu dikatakan sedang melakukan kerja-kerja menggali dan menanam paip sebelum ditimbus tanah runtuh sedalam tiga meter.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.

Ketua BBP Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.45 tengah hari.
Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera terus digerakkan ke lokasi sejauh 14 kilometer dari BBP Kota Kinabalu untuk membantu.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati seorang lelaki tertimbus runtuhan tanah sedalam kira-kira tiga meter ketika menjalankan kerja pemasangan paip.

“Anggota bomba terus bertindak menggali tanah bagi mengeluarkan mangsa sebelum dibawa naik menggunakan pengusung (stretcher),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.50 petang,” katanya.


















Comments