Pekerja swasta sambut baik pengurangan waktu kerja mingguan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pekerja swasta sambut baik pengurangan waktu kerja mingguan


Gambar Hiasan

13 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam yang akan berkuat kuasa 1 September ini disambut baik para pekerja swasta di Sabah.


Menurut mereka, ia akan memberikan peluang kepada para pekerja meluangkan masa bersama keluarga pada setiap hujung minggu.


Mereka juga berharap agar setiap majikan dapat mengikuti peraturan baharu yang telah ditetapkan dan tidak mengurangkan gaji atau bayaran kerja lebih masa.


Seorang pekerja sektor pembinaan Joannes Sham berkata, beliau amat bersetuju masa kerja seminggu dikurangkan kepada 45 jam agar lebih banyak masa diluangkan bersama keluarga.


“Kami kerja enam hari seminggu (48 jam). Ini bermakna, apabila peraturan baru ini dilaksanakan pada 1 September, kami hanya bekerja setengah hari pada hari Sabtu.


“Jadi Sabtu dan Ahad boleh digunakan bersama keluarga balik kampung melawat kebun,” katanya.


Seorang lagi pekerja sektor pembinaan Olle Dominic berkata, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam amat baik bagi memberikan masa rehat yang mencukupi.


“Saya juga berharap dengan pelaksanaan peraturan baharu ini, majikan tidak mengambil kesempatan mengurangkan gaji pekerja,” katanya.


Neil Brain Joseph berkata, hampir semua pekerja di Malaysia menyambut baik inisiatif pengurangan waktu kerja mingguan ini.


“Waktu kerja mingguan di negara-negara Eropah seperti Belanda, Denmark, Norway dan Switzerland tidak melebihi 35 jam tetapi kadar produktiviti dan kemajuan mereka masih tetap memuaskan.


“Pada pendapat saya, perkara yang sama boleh dipraktikkan di Malaysia,” katanya.


Pada masa yang sama, beliau berkata pengurangan waktu kerja ini juga boleh mengurangkan masalah ‘stress’ di kalangan pekerja.


“Dengan adanya masa lebihan, mereka boleh berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Hal ini amat penting bagi memastikan kesihatan rakyat Malaysia terjaga.


“Kami juga berharap kerajaan akan memastikan arahan ini disokong dan dipatuhi oleh semua majikan,” katanya.


Bagi pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Fiona, pengurangan masa kerja mingguan dapat mengurangkan tekanan kerja di pejabat dan memberikan rehat yang mencukupi kepada para pekerja.


“Para pekerja terutamanya ibu-ibu mempunyai masa hujung minggu mengurus dan memantau anak-anak,” katanya.


Puan Beatrice turut menyokong dan mengalu-alukan pengurangan waktu kerja mingguan bagi membolehkan pekerja menggunakan masa hujung minggu berkumpul bersama keluarga


“Keseimbangan kehidupan dan bekerja amat penting bagi mengurangkan tekanan kepada para pekerja seterusnya menyumbang kepada produktiviti kerja yang lebih baik,” katanya.


Sementara itu pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Francesca berkata, mengurangkan waktu bekerja dalam seminggu tiada bezanya dengan masa kerjanya ketika ini.


“Oleh itu saya berharap majikan dapat membenarkan pekerja bekerja mengikut kesesuaian waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan,” katanya.


Bagi Rafael pula, pengurangan waktu kerja mingguan ini dapat membentuk budaya kerja yang lebih berkualiti dan berinovasi.


“Ini kerana pekerja boleh balik awal pada hari Sabtu dan mempunyai rehat yang mencukupi setiap hujung minggu. Ini akan memberi impak positif kepada kualiti kerja setiap pekerja,” katanya.


Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa majikan tidak manipulasi bayaran kerja lebih masa apabila pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan dilaksanakan bermula 1 September ini, selaras dengan pindaan Akta Kerja 1955.


Dalam laporan Berita Harian baru-baru ini, Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata pihaknya juga berharap Jabatan Tenaga Kerja dapat menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaan itu lebih berkesan.


"Besar harapan MTUC dengan pelaksanaan waktu bekerja yang lebih singkat, majikan tidak akan memanipulasi pengiraan pekerja lebih masa atau tidak mematuhinya langsung.


"Pindaan Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan adalah langkah awal yang diambil oleh kerajaan bagi keseimbangan waktu bekerja dengan kehidupan seharian,” katanya.


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim memberitahu Dewan Negara pada Khamis lalu, bahawa pindaan itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).


Pindaan ini juga membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.


Di bawah peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik COVID-19.

bottom of page