Pelaburan di Sabah catat pertumbuhan konsisten sejak 2021
- nabalunews
- Nov 2
- 1 min read

2 November 2025
KOTA KINABALU: Pelaburan domestik dan asing di Sabah menunjukkan trend positif sepanjang tempoh pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021–2025, dengan pertumbuhan konsisten dari segi jumlah serta kepelbagaian sektor.
Menerusi satu kenyataan Sekretariat Sabah Maju Jaya memaklumkan, Sabah berjaya menarik pelaburan keseluruhan melebihi RM50 bilion antara tahun 2021 hingga separuh pertama 2025, sekali gus mencerminkan momentum ekonomi negeri yang kukuh dan berdaya saing.
“Bagi separuh pertama tahun 2025 sahaja, Sabah mencatatkan pelaburan bernilai RM11.4 bilion, termasuk RM6.61 bilion pelaburan asing dan RM4.79 bilion pelaburan domestic.

“Pencapaian ini membuktikan tahap keyakinan pelabur terhadap dasar serta hala tuju pembangunan negeri di bawah kerangka SMJ,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan data SMJ, jumlah pelaburan meningkat daripada RM6.03 bilion pada 2021 kepada RM11.56 bilion pada 2022, RM11.34 bilion (2023), manakala pada 2024 menyaksikan pelaburan bernilai RM6.45 bilion, sebelum merekodkan RM11.4 bilion bagi separuh pertama tahun 2025.
Jelas sekretariat itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh iklim pelaburan kondusif dengan mempertingkat pemudahcara urusan, menambah baik infrastruktur, serta melaksanakan dasar mesra pelabur bagi menarik lebih banyak pelaburan strategik ke negeri ini.


















Comments