top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelajar perubatan UMS anjur program kesihatan kepada masyarakat kampung


14 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pelajar Doktor Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Univeriti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Promosi Kesihatan di Sekolah Kebangsaan Terongkongan, Kudat baru-baru ini.


Menurut kenyataan FPSK, program yang bertemakan "Makan sihat, jom!." adalah hasil daripada kajian kumpulan mahasiswa yang dijalankan selama empat minggu di Kampung Terongkongan Laut dan Kampung Tinduk Kudat.


“Pelaksanaan program ini sejajar dengan semangat Bulan Pemakanan Malaysia yang disambut pada bulan April setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai budaya pemakanan sihat.


“Selaras dengan itu, kumpulan mahasiswa ini telah menjalankan pendidikan kesihatan melalui program promosi pemakanan sihat di kampung-kampung tersebut.


“Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat serta mendorong penghayatan panduan pemakanan secara “suku-suku separuh”, jelas kenyataan itu di sini hari ini.


Menurut kenyataan itu lagi, adalah diharapkan agar program yang dianjurkan dapat memupuk kesedaran yang lebih besar mengenai pemakanan seimbang seterusnya mendorong masyarakat untuk sentiasa mempunyai tahap kesihatan yang baik.


Majlis perasmian Program Promosi Kesihatan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong, Datuk Julita Mojungki. Hadir sama, Dekan FPSK UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree.


Untuk rekod, program kemasyarakatan tersebut turut dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat dan SOG Eyewear Sikuati.

Comments


bottom of page