Pelan Pembangunan Penampang ada wawasan, praktikal - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelan Pembangunan Penampang ada wawasan, praktikal - Ewon



15 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pelan Pembangunan Penampang 2024 - 2035 yang sedang disiapkan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah merupakan rangka pelan pembangunan yang mempunyai wawasan dan praktikal untuk dilaksanakan, kata Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pelan tersebut juga merupakan hasil dapatan aspirasi rakyat Penampang yang turut dilengkapkan dengan perancangan agensi-agensi Kerajaan di daerah ini.


“Saya mahu pelan ini menyerlahkan wawasan pembangunan di Penampang dan dalam masa yang sama, praktikal untuk dilaksanakan.


“Tanggungjawab saya sebagai Wakil Rakyat di sini adalah menjadikan dokumen ini sebagai input kepada rancangan pembangunan Kerajaan dan seterusnya mengusahakan peruntukan bagi menjayakan aspirasi dalam pelan ini,” katanya.



Beliau berkata demikian semasa menghadiri taklimat khas hasil dapatan Pelan Pembangunan Penampang 2024 - 2035 di Wisma IDS.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif IDS Professor Datuk Dr Ramzah Dambul.


Ewon berkata, Pelan Pembangunan Penampang itu mencakupi draf Pelan Tempatan, Pelan Pembangunan Keusahawanan, Pelan Pembangunan Pendidikan dan lain-lain rancangan pembangunan di daerah itu.


“Isu dan cabaran juga telah dikenalpasti bagi memudahkan pembuatan keputusan pada masa akan datang,” katanya.


Ewon berkata, sebagai Wakil Rakyat kawasan itu, adalah menjadi tanggungjawabnya memberikan kepimpinan berkesan agar aspirasi rakyat yang didokumenkan dalam bentuk pelan pembangunan dapat direalisasikan.



“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah bersetuju mengadakan kunjungan ke Penampang pada 18 November ini untuk perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (HPPK). Pengisian tambahan pada majlis ini ialah Pelancaran Pelan Pembangunan.


“Saya akan meminta sejumlah peruntukan daripada YAB Perdana Menteri untuk memulakan pelaksanaan projek-projek pembangunan terutama yang berskala kecil dan sederhana bermula tahun hadapan.


“Manakala projek berskala besar akan melalui proses yang berkaitan bermula dengan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD),” katanya.



Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, pendekatan yang sama akan digunakan untuk menjayakan Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020 - 2035.


“Bagi Kadamaian, saya akan menjemput Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah untuk mengunjungi Kadamaian dan saya akan meminta sejumlah peruntukan daripada beliau untuk meneruskan pelaksanaan projek-projek dalam Pelan Pembangunan Kadamaian tersebut,” katanya.


Ewon menggunakan peruntukan beliau sebagai Ahli Parlimen Penampang bagi membiayai penyelidikan dan penyediaan Pelan Pembangunan Penampang sepertimana beliah menggunakan peruntukan ADUN sebelum ini untuk Pelan Pembangunan Kadamaian 2020 - 2035 yang kini sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi Kerajaan.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page