Pelantikan politik di kawasan, Upko perlu semai contoh - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelantikan politik di kawasan, Upko perlu semai contoh - Ewon

10 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan parti itu khususnya Wakil-Wakil Rakyat parti harus menyemai politik contoh berkaitan dengan pelantikan politik di kawasan yang diwakili.


Menurut beliau, isu pelantikan politik seperti ketua-ketua adat dan pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sentiasa dibangkitkan oleh parti-parti politik termasuk dalam setiap konvensyen tahunan UPKO.


“Saya maklum dengan keprihatinan dan ketidakpuashatian Bahagian-Bahagian UPKO yang tidak dilibatkan dalam pelantikan ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi JKKK walaupun menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah. Perkara yang sama juga dibangkitkan oleh beberapa parti lain.


“Perkongsian perlantikan ini sudah menjadi resolusi dalam konvensyen UPKO yang lepas dan selagi ianya belum terlaksana, ia harus kekal sebagai resolusi tetap parti. Saya akan terus menjadi diplomat parti berkenaan perkara ini.


“Tetapi kita sebagai Wakil Rakyat melalui parti UPKO perlu menyemai politik contoh dalam isu perlantikan politik di kawasan yang diwakili. Sebagai contoh, saya sebagai ADUN Kadamaian telah memastikan pelantikan Pengerusi-Pengerusi JKKK di Kadamaian baru-baru ini berasaskan kepada formula 60 peratus yang saya lantik daripada UPKO dan Pakatan Harapan, manakala 40 peratus lagi saya lantik daripada parti-parti lain yang menyokong Kerajaan Negeri Sabah iaitu GRS dan BN,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan bahawa ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah telah mengemukakan cadangan kepada Ketua Menteri supaya perlantikan politik di kawasan yang diwakili berasaskan kepada 60:40 tersebut.


“Bagaimanapun, mengambil-kira pandangan parti-parti lain yang membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang ada sekarang, kuasa penuh telah diberikan kepada ADUN-ADUN untuk melantik pengerusi-pengerusi JKKK dan ketua-ketua kampung.


“Di kawasan Kadamaian, saya tetap berpegang kepada cadangan saya ini. Saya telah melaksanakan formula 60:40 semasa melantik pengerusi-pengerusi JKKK di DUN Kadamaian dan watikah perlantikan mereka telahpun saya sampaikan.


“Inilah yang saya maksudkan sebagai politik contoh. Apabila kita mahu membuat tuntutan, dan semasa kita boleh membuat keputusan, kita pastikan keputusan ataupun tindakan kita tersebut boleh dijadikan sebagai contoh. Saya berharap kerajaan negeri mengambil perhatian mengenai perkara ini agar parti-parti penyokong kerajaan diberi peranan di semua kawasan mengikut satu formula perkongsian bersama,” katanya.


Ewon menyatakan demikian dalam ucapan penggulungan beliau di Konvensyen Nasional UPKO, di sini, semalam.


Terdahulu, banyak perwakilan telah membahaskan mengenai isu perkongsian kuasa politik dalam perlantikan ketua-ketua adat dan pengerusi-pengerusi JKKK yang mereka sifatkan tidak menggambarkan peranan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page