Pelantikan Timbalan Menteri dari Sabah bukti komitmen Kerajaan terhadap Labuan – Hannah
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 2 min read

22 Disember 2025
PUTRAJAYA: Pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) daripada Sabah mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan Labuan menerima perhatian serta sokongan yang lebih menyeluruh.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata pelantikan Datuk Lo Su Fui bukan sahaja bersifat strategik, malah selari dengan keperluan memperkukuh tadbir urus dan pembangunan seimbang di Wilayah Persekutuan, khususnya Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir negara.
“Baik saya mahupun Timbalan Menteri, Datuk Lo Su Fui, masing-masing mempunyai latar belakang perundangan, satu kelebihan besar dalam memastikan tadbir urus yang baik serta proses membuat keputusan yang berkualiti.
“Seperti semua urusan berkaitan Wilayah Persekutuan, keputusan dasar utama akan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” katanya selepas pejabatnya di Menara Seri Wilayah, di sini, pagi tadi.
Mengulas komitmennya sebagai menteri, Hannah berkata beliau bertekad memimpin Wilayah Persekutuan dengan penekanan terhadap peningkatan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam, pembangunan mampan, perlindungan ruang hijau dan rekreasi, serta pengukuhan usaha mitigasi banjir.
“Ini adalah amanah yang besar dan saya akan memikulnya dengan integriti, disiplin serta tekad yang tinggi, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan harapan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, inklusif dan berkesan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hannah menegaskan bahawa latar belakang kaum atau warna kulit tidak pernah menjadi faktor dalam pendekatan kerjanya, sebaliknya fokus utama sentiasa tertumpu kepada dasar, pelaksanaan dan hasil demi kepentingan rakyat.
“Sejak 2008, dalam apa jua peranan yang saya galas, tumpuan saya adalah kepada khidmat untuk rakyat. Saya bersedia untuk turun bekerja dan membiarkan rekod pencapaian saya berbicara sendiri,” katanya.
Tambah beliau, pentadbirannya akan mengutamakan kerjasama erat dengan semua Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan, yang disifatkannya sebagai pihak paling memahami denyut nadi dan keperluan sebenar kawasan masing-masing.
Katanya, visi beliau adalah untuk memaksimumkan potensi Kuala Lumpur sebagai ibu negara, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran dan Labuan sebagai hab kewangan luar pesisir, sekali gus menjadikan Wilayah Persekutuan contoh bandar yang bersih dari segi nilai, selamat dan inklusif untuk didiami.














