Pelantikan wakil Sabah, Sarawak dalam LHDN dibentang di Parlimen – Armizan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelantikan wakil Sabah, Sarawak dalam LHDN dibentang di Parlimen – Armizan


3 Okt 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) LHDN (Pindaan) 2023 yang akan membolehkan Sabah dan Sarawak mendapat semula wakil mereka sebagai Anggota Lembaga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dibentang dalam Dewan Rakyat pada sidang yang akan berlangsung dari 9 Okt hingga 30 Nov ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali vberkata RUU tersebut adalah penting untuk mengukuhkan proses pelantikan wakil daripada Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Lembaga LHDN melalui undang-undang, selepas ia dilakukan secara pentadbiran sejak tahun lepas.


"Kabinet Persekutuan pada 5 Jun lepas telah meluluskan (cadangan) untuk dilaksanakan pindaan kepada Akta LHDN melalui RUU tersebut bagi melantik wakil Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Lembaga LHDN.


“Kita tahu pentingnya kenapa (perlu) ada perwakilan (dari) Sabah dan Sarawak supaya Sabah dan Sarawak mempunyai akses kepada maklumat berkaitan dengan kutipan hasil untuk menuntut perkara-perkara lain, contohnya yang berkaitan dalam pemberian khas,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Wacana Madani bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), MA63: Aspirasi 60 Tahun Sabah dalam Malaysia, di Menara Kinabalu, pada Selasa.


Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan yang mempunyai kehendak politik untuk memaknai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terutamanya dalam menangani isu-isu yang tertangguh dalam perjanjian itu.


Beliau berkata isu ini adalah salah satu daripada isu yang tertangguh dalam MA63 dan telah dibangkitkan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak dalam Mesyuarat Majlis Khas MA63 pada 18 Okt tahun lepas.


Wakil Sabah dan Sarawak dalam LHDN telah terhenti apabila LHDN dan undang-undang berkaitan dimansuhkan dan dikawal selia oleh Jabatan LHDN bermula pada 1967, sebelum diteruskan oleh LHDN yang ditubuhkan pada 1996 di bawah Akta LHDN.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page